30 bot nelayan konvoi kibar Jalur Gemilang

Konvoi bot berhias sempena program Semarak Gemilang 2023 peringkat daerah Jasin. - Foto Facebook Akmal Saleh
Konvoi bot berhias sempena program Semarak Gemilang 2023 peringkat daerah Jasin. - Foto Facebook Akmal Saleh
A
A
A

JASIN - Kira-kira 30 bot nelayan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang hari ini menyertai perarakan konvoi bot berhias sempena program Semarak Gemilang 2023 peringkat daerah Jasin bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perarakan sejauh 15 kilometer itu bermula dari perairan Jeti Serkam hingga ke Jeti Kuala Merlimau.

"Program ini dilaksanakan untuk menyuburkan perasaan cintakan negara melalui kempen Kibar Jalur Gemilang yang turut melibatkan komuniti nelayan.

"Perarakan bermula 8 pagi tadi turut melibatkan 17 agensi kerajaan negeri, selain diadakan pelbagai pertandingan seperti masakan asam pedas, soccer kids, Jualan Agro Madani dan kuiz kenegaraan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Gemilang 2023 peringkat Jasin yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Penerangan Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal turut menyarankan persatuan nelayan di tiga daerah memanfaatkan peluang menceburi industri hiliran termasuk memohon tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kedua yang akan dibangunkan di Machap, Alor Gajah.

Beliau berkata, projek seluas 12.14 hektar itu dilihat dapat memberi peluang kepada nelayan meningkatkan hasil pendapatan sampingan menerusi pertanian berikutan tangkapan hasil laut yang terjejas.

"Ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membantu nelayan dan kita menyeru persatuan nelayan untuk fokus kepada ekonomi industri hiliran bukan sahaja menangkap ikan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini dapat membantu mereka menambah sumber pendapatan akibat tangkapan ikan yang berkurangan atau sementara menghadapi musim tengkujuh," katanya.

Menurut Dr Muhamad Akmal, selain bidang pertanian, kerajaan Melaka juga memberi tumpuan membangunkan projek ternakan kerang dan kupang di perairan Merlimau dan Sebatu bagi meningkatkan ekonomi sampingan nelayan yang kini telah memperlihatkan hasil. - Bernama