Felda Palong 8 ceria dihias Jalur Gemilang
JEMPOL - Rumah peneroka dan premis perniagaan di Felda Palong 8 di sini meriah dan ceria apabila dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menghangatkan sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi.
Kreativiti dan kepelbagaian reka bentuk menggunakan bendera yang ditonjolkan lebih 500 warga Felda kawasan itu juga sempena Pertandingan Kibar Jalur Gemilang Kreatif.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Felda Palong 8, Ismail Salim berkata, idea penganjuran pertandingan ini bermula daripada luahan anak muda di sini apabila melihat sambutan Bulan Kebangsaan semakin suram.
"Mungkin disebabkan keadaan semasa negara ataupun ekonomi rakyat terutamanya selepas pandemik Covid-19, jadi sambutan agak suram berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur secara menyeluruh untuk kita melabel beberapa kelompok tentang tahap semangat patriotik mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Justeru, Ismail berpendapat semangat patriotik sewajarnya diterjemahkan dengan kibaran Jalur Gemilang tidak kira tempat termasuk di kenderaan sendiri.
"Maka kita anjurkanlah pertandingan ini bermula 25 Ogos lalu hingga 12 September ini sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Felda Palong 8 dengan penjurian akan dilakukan pada Jumaat ini.
"Kita harap usaha ini dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara selain dapat menyebarkan maklumat dan sejarah negara tentang kemerdekaan negara serta Hari Malaysia kepada generasi muda," katanya.
Dalam pada itu, katanya, antara hiasan dan reka bentuk yang ditonjolkan warga Felda Palong 8 berupa replika menara berkembar, bendera Malaysia berlampu solar dan gerbang berasaskan bendera.
"Mereka bebas membuat susun atur bendera mengikut kreativiti sekali gus dapat mengeratkan silaturahim antara satu dengan lain dengan penglibatan pelbagai peringkat umur," katanya.