Kerajaan Pahang prihatin bantu 13 pesakit kanser

Mazlina (lima dari kanan) dan Wan Shahriza (empat dari kanan) bertemu pesakit kanser majlis penyampaian bantuan pesakit kronik di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.
Mazlina (lima dari kanan) dan Wan Shahriza (empat dari kanan) bertemu pesakit kanser majlis penyampaian bantuan pesakit kronik di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13,000 menerusi tabung pesakit kronik untuk disumbangkan kepada 13 pesakit kanser.

Pengerusi Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (Pesona), Wan Shahriza Wan Ab Rahman berkata, peruntukan itu diberikan kepada ahli Pesona yang memerlukan rawatan berkala setiap bulan di hospital.

Menurutnya, pihaknya membuat permohonan bantuan pesakit kronik daripada kerajaan negeri membabitkan 35 pesakit yang berdaftar.

“Bantuan itu melibatkan beberapa fasa selepas diluluskan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang begitu prihatin dengan golongan memerlukan terutama pesakit kronik.

“Saya berharap bantuan diberikan kerajaan negeri ini dapat meringankan beban keluarga pesakit terutama yang kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan pesakit kronik yang disempurnakan Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Pahang, Mazlina Mohamad Lazim di bilik Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang di sini hari ini.

Wan Shahriza berkata, kebanyakan pesakit kanser di negeri ini menerima rawatan di semua peringkat di hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Menurutnya, pihaknya juga pada setiap tahun akan membuat permohonan bantuan daripada kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Permohonan itu bagi memohon peruntukan membantu pesakit kanser terutama membabitkan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Sementara itu, Noraini Othman, 45, berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan itu berikutan ia meringankan bebannya menguruskan anaknya yang menghidap kanser darah.

Katanya, bantuan diterima digunakan untuk perbelanjaan menghantar anaknya, Ahmad Hijrah Ahmad Rasol, 13, ke hospital Sultanah Nur Zahirah bagi mendapatkan rawatan.

“Setiap kali ke sana (hospital) saya terpaksa belanjakan antara RM300 hingga RM600 untuk sekali perjalanan ke Kuala Terengganu termasuk makan dan tempat tinggal, rawatan serta ubat percuma.

“Suami hanya bekerja sebagai polis bantuan bank jadi kami terpaksa berjimat pendapatan yang ada demi kesihatan Ahmad Hijrah yang menderita kanser darah sejak empat tahun lalu," katanya.