'Pahang beri peruntukan cuma tak sama dengan kerajaan'

Wan Rosdy dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan pada Jumaat
Wan Rosdy dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan pada Jumaat
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebagaimana titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun peruntukan itu dicadang akan diberikan secara berkala kepada semua terlibat.

Menurutnya, jumlah peruntukan tersebut tidak akan sama dengan peruntukan yang diterima wakil rakyat daripada kerajaan.

"Sebelum titah, kita sudah bagi (RM5,000 ringgit ketika bulan Ramadan yang lalu), selepas itu, kita akan bagi lagi (peruntukan) tetapi bukanlah setiap bulan. Kita (bercadang hendak bagi (peruntukan) secara berkala.

"Kalau Tuanku (Tengku Hassanal) bertitah, kita menjunjung kasih titah Tuanku, kita tetap memberikan peruntukan, cuma (jumlahnya) tidak sama dengan kerajaan, kena ada perbezaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat

Pada Isnin, Tengku Hassanal bertitah agar wakil rakyat pembangkang juga perlu diraikan oleh kerajaan kerana mereka dipilih oleh rakyat dan peruntukan yang adil juga perlu diberikan kepada pembangkang.

Semantara itu, Wan Rosdy memaklumkan, Pegawai Kewangan Negeri diminta untuk membuat kajian dan tindakan susulan kertas cadangan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan dibuat keputusan berhubung peruntukan untuk ADUN Pembangkang.

"Insya-ALLAH, bersama-samalah kita berdoa agar hasrat kita bersama ini dapat direalisasikan," katanya ketika berucap pada sesi pergulungan itu.

Beliau menambah, kerajaan Pahang tidak pernah sesekali mengabaikan kebajikan rakyat dan sentiasa menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan dan bantuan kepada rakyat negeri ini secara berterusan.

Menurutnya, bantuan dan sumbangan itulah meliputi segenap lapisan masyarakat tanpa memilih bangsa, agama mahupun warna politik.

"Malah, di kawasan DUN pembangkang, kerajaan Pahang tetap salurkan bantuan ini, walaupun pengundi di kawasan tersebut tidak memilih kami pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu kerana ini sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai kerajaan.

"Walaupun peruntukan tidak disalurkan terus kepada ADUN pembangkang, tetapi bantuan-bantuan ini tetap sampai kepada rakyat yang disalurkan menerusi Menteri Besar sendiri, Exco kerajaan negeri, penyelaras DUN serta pejabat daerah," jelas beliau.

Selain itu, Wan Rosdy merujuk kepada Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Negeri Pahang bagi tahun ini memberitahu, sebanyak RM118.5 juta ringgit diperuntukkan di kawasan DUN pembangkang untuk melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri.

"Pendek kata, asal ia menyentuh mengenai kebajikan rakyat kita akan salurkan dan kita akan usahakan untuk bantu.

"Bagaimanapun kepada Yang Berhormat di sebelah sana (ADUN Pembangkang), kalau perlukan apa-apa bantuan boleh sahaja berjumpa dengan saya.

"Insya-ALLAH apa yang boleh saya bantu, saya akan bantu. Kita boleh bincang. Tapi kaedah itu mungkin berbeza," katanya.