Roboh 14 struktur binaan haram

Mohd Fakrulrazi turun ke lokasi terlibat bagi meninjau premis haram yang bakal dirobohkan selepas ini.
Mohd Fakrulrazi turun ke lokasi terlibat bagi meninjau premis haram yang bakal dirobohkan selepas ini.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 14 struktur binaan haram di Lot 3 Seksyen 7 Pekan Meru bakal berdepan tindakan perobohan bagi memberi laluan kepada pembinaan Dataran Niaga di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, struktur haram yang dijadikan sebagai premis perniagaan itu telah beroperasi sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang kelulusan dan melanggar peraturan ditetapkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, premis tersebut disewakan kepada penduduk tempatan dan warga asing bagi mengaut keuntungan dengan cara mudah.

"Ada pihak tertentu telah mengutip sewa daripada peniaga di sini yang menjalankan pelbagai operasi perniagaan seperti kedai makan, kedai runcit, kolam memancing, dobi dan lain-lain lagi.

"Disebabkan itu saya bersama Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Klang berbincang untuk membuat pemutihan di kawasan ini dan penyusunan semula terhadap premis terlibat," katanya selepas mengadakan lawatan tapak ke kawasan berkenaan semalam.

Mengulas mengenai pembangunan di tapak tersebut, Mohd Fakrulrazi,langkah penyusunan semula premis di kawasan itu adalah bagi membolehkan peniaga tempatan beroperasi secara sah dengan kadar sewaan berpatutan.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan itu juga dilakukan terhadap peniaga warga Acheh dan Bangladesh yang telah lama beroperasi di kawasan itu tanpa mengikut syarat ditetapkan kerajaan negeri.

" Kita juga ingin memindahkan tapak pasar malam berhampiran kawasan ini ke lokasi tersebut bagi mengatasi masalah kesesakan yang seringkali berlaku sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, PTG Klang juga telah mengeluarkan notis pengosongan tapak kepada pihak terlibat sejak Disember tahun lalu bagi memaklumkan mengenai tindakan perobohan itu.

"Kita tak mahu tindakan perobohan selepas ini akan menimbulkan fitnah seolah-olah kami ingin menutup pintu rezeki pihak terlibat.

"Disebabkan itulah langkah-langkah perobohan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.