Penjaja jalanan, pembeli berdepan tindakan saman

Aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat aktif di daerah boleh membahayakan nyawa.
Aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat aktif di daerah boleh membahayakan nyawa.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bertegas akan mengenakan tindakan saman terhadap penjaja dan pembeli yang menjalankan urus niaga di persimpangan lampu isyarat di sekitar daerah ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, tindakan saman dikeluarkan sekiranya mereka didapati ingkar selepas teguran dibuat pihaknya.

"Setakat ini, tiada sebarang saman dikeluarkan. Malah, kita masih dalam peringkat memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk penjaja jalanan bahawa aktiviti menjaja dan membeli di tengah jalan raya sebenarnya boleh membahayakan nyawa.

"Selepas ini (peringatan dan kesedaran diberikan) kita akan ambil tindakan tanpa kompromi terhadap mereka (penjaja dan pembeli) jika masih lagi melakukan aktiviti menjaja," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau memberitahu pasukan warden lalulintas MBK kini menguatkuasakan tindakan di bawah di bawah Kaedah 10A (1) dan Kaedah 10A (2) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Jelasnya, tindakan saman dan sitaan barang-barang jualan akan diambil ke atas penjaja-penjaja ini.

"Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebih daripada 6 bulan, atau kedua-duanya sekali," katanya.