Panji negara bukan bendera parti

No Image Caption
A
A
A

BILA anak-anak penulis yang bersekolah rendah menghafal bait-bait lagu kemerdekaan dan patriotik, ia menimbulkan rasa sebak di hati. Kata mereka, lagu itu akan dinyanyikan sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan diadakan beberapa hari lagi.

Kesungguhan guru-guru dan kakitangan sekolah menyemai rasa kecintaan kepada negara dalam kalangan murid-murid bukan boleh dipandang enteng. Ia adalah usaha murni untuk memasakkan rasa kecintaan kepada negara yang merdeka. Melentur buluh biar daripada rebung. Syabas sekolah dan pelajar!

Penulis yakin seluruh negara sedang sibuk membuat persiapan menyambut hari yang dinantikan ini dengan penuh pengharapan agar kemakmuran yang dinikmati ini tidak berpenghujung. Jika dilihat sejak awal Ogos, kediaman, bangunan kerajaan, premis perniagaan dan kenderaan, jalan raya di bandar atau di luar bandar diwarnai dengan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, perasaan penulis dan rakyat Malaysia ‘terusik’ dengan sikap segelintir masyarakat terhadap bendera negara yang kita cintai ini. Lebih menggalau hati apabila beberapa insiden yang menaikkan kemarahan rakyat di negara ini berkaitan Jalur Gemilang.

Sambutan kemerdekaan kali ini dicemari dengan pelbagai perkara yang menyakitkan. Ia bukanlah perkara baharu dan pernah terjadi pada tahun-tahun sebelum ini. Walaupun dibahaskan pelbagai pihak, laporan polis dibuat, penghinaan bendera Malaysia masih berlaku. Ia seolah-olah perkara biasa setiap kali tiba Hari Kemerdekaan.

Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-62. Isu bendera menjadi tajuk utama yang ditularkan. Ia dimulai dengan kesilapan pada warna bendera, bendera yang disalah cetak, pemasangan bendera yang tidak betul dan sebagainya. Adakah ini merupakan satu kesilapan yang disengajakan atau propaganda tertentu untuk menyemarakkan rasa kemarahan rakyat berbilang kaum di negara ini? Hormati bendera, ia bukan sekadar kain berwarna-warni tetapi turut melambangkan kedaulatan dan panji negara!

Ingin penulis ingatkan, untuk Malaysia mencapai kemerdekaan bukanlah dengan sekelip mata. Ia adalah pengorbanan rakyat terdahulu untuk menentang penjajah yang tak mampu dibalas. Bukan sahaja pejuang dan wira negara bergolok gadai, malah berlaku pertumpahan darah kerana perjuangkan kemerdekaan ibu pertiwi.

Mengimbas kembali detik bersejarah Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos 1957, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Penulis tidak merasai detik tersebut, namun dengan adanya teknologi yang mampu merakamkan detik itu dengan ‘visual hitam putih’, saat bersejarah itu terakam kemas untuk dilihat sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

Antara momen indahnya ialah apabila rakyat bersama-sama menyambut laungan ‘Merdeka’ oleh Tunku Abdul Rahman menandakan kelahiran sebuah negara yang harmoni dan bersatu walaupun berlainan agama dan bangsa. Rakyat yang tidak dapat menghadiri upacara tersebut turut dapat merasai keterujaan itu melalui televisyen hitam putih. Perisytiharan itu amat bermakna!

Ya, kecintaan kepada negara dan bendera Malaysia harus berpanjangan. Sejak detik itu, masyarakat berbilang bangsa berganding bahu untuk membangunkan negara. Kita perlu kekalkan kecintaan dan pelihara negara kita serta menghormati bendera Malaysia. Selepas enam tahun kemerdekaan, pada 16 September 1963, Malaysia dibentuk dengan gabungan Sabah dan Sarawak. Kedua-dua peristiwa penting ini merupakan asas pembentukan negara kita.

Mungkin perlu diingatkan fakta bendera Malaysia. Bulan dan bintang itu melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bintang pecah 14 menunjukkan perpaduan 13 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan, warna kuning anak bulan dan bintang melambangkan warna diraja.

Warna biru tua menunjukkan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam negara, warna merah menunjukkan keberanian serta warna putih menunjukkan kesucian dan keluhuran.

Bendera Malaysia adalah lambang kedaulatan negara. Jagalah, peliharalah, kibarlah ia dengan cara yang betul. Jika ada yang ternampak kesilapan dilakukan pada bendera, perbetulkanlah, menegur dahulu sebelum ditularkan. Jangan samakan panji Malaysia seperti bendera parti. Jika bendera parti, andai parti tumbang, negara masih ada.

* Norshahzura Mat Zuki ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Nasional