Seorang lagi pelarian Rohingya ditembak mati

Anggota keselamatan berkawal di kem pelarian Jadimura pada 24 Ogos lalu susulan pertempuran antara polis Bangladesh dan pelarian Rohingya. - Foto AFP
Anggota keselamatan berkawal di kem pelarian Jadimura pada 24 Ogos lalu susulan pertempuran antara polis Bangladesh dan pelarian Rohingya. - Foto AFP
A
A
A

COX'S BAZAR - Polis Bangladesh hari ini dilaporkan menembak mati seorang lagi pelarian Rohingya yang dituduh membunuh seorang pegawai parti pemerintah.

Menurut polis, Mohammad Hasan yang disyaki ahli geng ditembak mati selepas didakwa melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa ketika serbuan untuk menahannya di kem pelarian Jadimura.

"Mangsa merupakan tertuduh dalam pembunuhan Omar Faruk," Ketua Polis, Prodeep Kumar Das memberitahu AFP, merujuk kepada pegawai sayap pemuda Parti Awami yang ditembak di kepala Khamis lalu.

Sabtu lalu, polis berkata mereka menembak mati dua pelarian Rohingya di kem pelarian sama berikutan peranan mereka dalam pembunuhan itu.

Aktivis hak asasi yang enggan dinamakan berkata, mereka percaya dua pelarian berkenaan dibunuh polis dalam 'pertemuan yang diatur'.

Insiden terbabit berlaku beberapa hari selepas cubaan kedua untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar gagal.

Dalam pada itu, pembunuhan Faruk mencetuskan kemarahan dalam kalangan penduduk setempat, ratusan penduduk yang berang menyekat lebuh raya utama menuju ke kem pelarian selama berjam-jam pada Khamis lalu, membakar tayar dan merosakkan kedai yang dikunjungi pelarian.

Pelarian Rohingya berkata, pertumpahan darah terbaharu itu menyebabkan ketakutan di dalam kem yang dikawal ketat.

Artikel Berkaitan:

Inspektor Polis, Ruhul Amin berkata, dengan kematian terkini, sekurang-kurangnya 33 pelarian Rohingya telah dibunuh polis Bangladesh dan pasukan keselamatan sejak hampir 740,000 etnik Rohingya melarikan diri susulan kekejaman tentera Myanmar pada tahun 2017. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Kepulangan Rohingya: Myanmar salahkan Bangladesh