Kepulangan Rohingya: Myanmar salahkan Bangladesh

Pelarian Rohingya di Bangladesh enggan pulang tanpa jaminan keselamatan.
Pelarian Rohingya di Bangladesh enggan pulang tanpa jaminan keselamatan.
A
A
A

YANGON - Myanmar menyalahkan Bangladesh berikutan kegagalan percubaan kali kedua penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Rakhine.

Khamis lalu, kedua-dua kerajaan merancang menghantar pulang hampir 3,500 pelarian Rohingya namun percubaan gagal apabila tiada pelarian muncul untuk menaiki bas yang akan membawa mereka menyeberang sempadan.

Kementerian Luar Myanmar menyalahkan Bangladesh kerana gagal mengedarkan 'borang pengesahan' yang betul kepada pelarian berpotensi untuk pulang.

Menurut Myanmar, prosedur tersebut tidak dipatuhi dan Bangladesh turut 'mengabaikan' permintaan untuk mempercepat kepulangan lebih 400 pelarian Hindu.

Sementara itu, Dhaka turut berharap pelarian Rohingya akan pulang berikutan sumber yang banyak digunakan untuk pelarian yang tinggal di kem.

Menteri Luar Bangladesh, A K Abdul Momen berkata, kegagalan penghantaran pulang kali kedua itu amat mengecewakan.

Menurutnya, pelarian Rohingya turut 'menawan' negara dengan desakan untuk menuntut kewarganegaraan.

Dalam pada itu, kumpulan hak asasi manusia berkata, situasi masih tidak selamat untuk penghantaran pulang pelarian berikutan pertempuran antara tentera Myanmar dan Tentera Arakan yang memperjuangkan autonomi buat kaum etnik di Rakhine. - AFP

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bangladesh sedia hantar pulang 3,500 pelarian Rohingya

ARTIKEL BERKAITAN: Proses hantar pulang pelarian Rohingya ditangguh lagi