Israel berisiko runtuh sebelum ulang tahun ke-100

TEL AVIV – Israel berdepan risiko runtuh sebelum mencapai ulang tahun penubuhan ke-100 pada tahun 2048 susulan perpecahan dalaman yang semakin parah dan pengasingan antarabangsa yang kian meningkat, lapor Anadolu pada Ahad.
Amaran itu disuarakan oleh bekas Mejar Jeneral Israel, Itzhak Brik menerusi sebuah artikel pendapat yang diterbitkan akhbar harian Maariv dengan tajuk 'Israel sedang menuju ke arah kehancuran dan hanya ada satu jalan untuk menyelamatkannya'.
“Apabila saya cuba meninjau masa hadapan, saya mendapati diri saya bertanya: adakah negara Israel mampu mencapai usia 100 tahun?” tulis Brik dalam artikel tersebut.
Israel ditubuhkan pada tahun 1948 di atas tanah Palestin yang dirampas oleh kumpulan bersenjata Zionis melalui siri pembunuhan beramai-ramai serta pengusiran ratusan ribu rakyat Palestin.
Pada tahun 1967, Israel menawan baki wilayah Palestin dan sehingga kini terus menolak pengunduran serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Menurut Brik, Israel telah berkembang menjadi sebuah masyarakat yang 'terkoyak dari dalam', dicirikan oleh “kebencian mendalam antara kumpulan sosial, antara golongan kanan dan kiri, antara masyarakat Yahudi serta Arab,” yang menurutnya telah meresap ke hampir semua aspek kehidupan.
Mengulas kepimpinan negara, Brik menegaskan bahawa Israel kini dipimpin oleh kepimpinan yang “mengutamakan kelangsungan politik berbanding kepentingan awam”, sambil menyifatkan pentadbiran Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai “rabun pandangan dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas”.
Dari sudut kedudukan global pula, beliau berkata, Israel semakin dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai sebuah negara yang “menimbulkan rasa jijik dan penolakan”, sekali gus mendorong ramai rakyatnya memilih untuk berhijrah ke luar negara.
Data yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Pusat Israel pada 28 Januari lalu menunjukkan kadar penghijrahan keluar dari Israel meningkat sebanyak 39 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Brik turut memberi amaran bahawa daya tahan Israel semakin terhakis merentasi semua sektor utama, termasuk keselamatan, ekonomi, pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan sains.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya generasi muda diberi kuasa untuk mengambil alih kepimpinan negara bagi membawa Israel keluar daripada krisis yang sedang melanda.
“Cabaran yang kita hadapi, daripada memulihkan keselamatan di utara (melibatkan Lubnan dan Syria) dan di selatan (Gaza), hinggalah membina semula ekonomi serta hubungan antarabangsa.
"Memerlukan tenaga yang hanya dimiliki oleh mereka yang masih mempunyai beberapa dekad kehidupan di hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, Brik berpandangan, Israel masih berpeluang melepasi usia 100 tahun sekiranya generasi muda berjaya menukar keputusasaan kepada tanggungjawab dan polarisasi kepada perkongsian intelektual.
Sepanjang hampir dua tahun perang genosid Israel di Gaza, pemimpin negara itu berulang kali mengakui Israel sedang berdepan krisis serius dari segi politik, keselamatan, ekonomi dan imej media.
Selain berdepan kemarahan masyarakat antarabangsa yang semakin memuncak terhadap tindakan ketenteraan Israel di rantau berkenaan.
Sejak 8 Oktober 2023, Israel melancarkan perang berskala besar di Gaza yang berlarutan hampir dua tahun, mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 yang lain.
Dalam tempoh sama, Israel turut melancarkan serangan ketenteraan terhadap Lubnan dan Iran pada peringkat berbeza.
Pada masa sama, negara haram itu juga melakukan serangan udara dan pencerobohan darat di Syria, serangan di Yemen serta satu serangan udara ke atas Qatar. - Agensi
Ringkasan AI
- Israel berdepan risiko runtuh sebelum ulang tahun ke-100 pada tahun 2048 akibat perpecahan dalaman dan pengasingan antarabangsa
- Bekas Mejar Jeneral Israel, Itzhak Brik mengatakan masyarakat Israel terkoyak dari dalam dengan kebencian mendalam antara kumpulan sosial yang berbeza
- Israel dipandang negatif oleh masyarakat antarabangsa, mendorong peningkatan migrasi keluar negara
- Pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dikritik kerana dipandang rabun pandangan dan tanpa hala tuju yang jelas
- Brik menggesa generasi muda diberi kuasa untuk mengambil alih kepimpinan agar Israel dapat keluar dari krisis yang dihadapinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

