MySC perlu tukar kepada bahasa Melayu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia menggesa supaya nama program Malaysia Sports Challenge (MySC) ditukar kepada bahasa Melayu sebagai penggunaan rasmi negara.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Mohamad Saleeh Rahamad berkata, program rasmi kerajaan seharusnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurutnya, mereka seharusnya mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan khususnya menjelang Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-62 Malaysia.

"Nama Hari Sukan Negara (HSN) yang ditukar kepada MySC itu boleh ditukar kepada Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain.

"Perubahan cara sambutan MySC sepanjang bulan Oktober, berbanding dengan HSN yang hanya diadakan sehari bukan alasan yang boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Saleeh berkata, penggunaan bahasa lain boleh digunakan sekiranya di peringkat antarabangsa yang bukan rasmi.

Jelasnya, sasaran MySC sebanyak lima juta penyertaan melibatkan semua peringkat umur berbanding HSN yang hanya melibatkan sasaran dua juta peserta tidak ada hak untuk menafikan bahasa Melayu.

"Kerajaan tidak perlu menambahkan suasana kehangatan sedangkan pergeseran antara kaum sudah semakin tegang.

Artikel Berkaitan:

"Sangat tidak wajar kerajaan mencabar sensitiviti para nasionalis lagi," katanya.

Beliau berkata, semua rejim mahu menggoncang Perlembagaan sedangkan rakyat yang setia bersusah mempertahankannya.

Tambahnya, jika rejim terdahulu menggunakan nama Fit Malaysia kini rejim baharu pula menggunakan Malaysia Sports Challenge.

"Kerajaan sendiri merosakkan negara ini," tegasnya.