Kerajaan mungkir janji hapus tol

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan PH mungkir janji apabila penghapusan tol yang terkandung dalam Buku Harapan ditukar kepada ketiadaan kenaikan kadar tol tahun hadapan.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, rakyat terutama pengundi PH digesa untuk merujuk kembali janji-janji manis pemimpin mereka di dalam Buku Harapan

"Merujuk kepada janji ke-6 ini, dikatakan bahawa Umno dan BN terus membiarkan syarikat konsesi seperti Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) terus-menerus menekan rakyat demi mengaut keuntungan, walaupun ia adalah syarikat milik kerajaan. Walaupun tol tidak dinaikkan, syarikat-syarikat terpilih terus mengaut keuntungan.

"PH kini adalah kerajaan dan berdasarkan Buku Harapan, anda kini berada di pihak yang berkuasa untuk menentukan dasar syarikat konsesi kerana ia adalah syarikat milik kerajaan. Kami gesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk bersikap telus kepada rakyat. Anda kini adalah kerajaan, kenapakah anda pula terus-menerus menekan rakyat demi syarikat konsesi mengaut keuntungan?," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu tunai janji setidaknya menghapuskan tol-tol yang kerap digunakan rakyat secara berperingkat.

"Setidak-tidaknya, mereka boleh berdiri dan dabik dada bahawa mereka menghapuskan beberapa tol tahun hadapan. Sekarang ini, penghapusan tol yang bakal dilaksanakan adalah hanya kepada tol motosikal di beberapa laluan.

"Tahun 2019 bakal menjadi tahun ekonomi mencabar untuk rakyat Malaysia. Pelbagai perkara asas rakyat seperti makanan, elektrik dan air akan naik harga bermula 1 Januari 2019 disebabkan SST. Tarif naik dan subsidi dikurangkan. Rakyat terus terbeban dan ditekan kerana kos sara hidup yang naik tinggi," katanya.

Artikel Berkaitan: