Setelah 62 tahun merdeka...

A
A
A

KIRA-KIRA seminggu lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan. Pejam-celik, pejam-celik sudah 62 tahun kita merdeka.

Teringat saya zaman kanak-kanak di kampung dulu-dulu, Hari Merdeka disambut meriah sekali. Heboh sekampung, jadi bualan di surau dan di kedai kopi.Walaupun saya masih kecil baru hendak masuk Darjah Satu dan tidak tahu erti merdeka, radio sentiasa menceriakan suasana dengan lagu-lagu patriotik.

Budak-budak menghafal lagu-lagu tersebut. Ada juga lagu Bahasa Kebangsaan, lagu Muhibbah, lagu Perpaduan dan macam-macam.

Hairan, hari ini setelah mencecah usia lebih enam dekad, saya dan mungkin juga kawan-kawan saya yang lain tidak lagi merasakan keseronokan menyambut kemerdekaan.

Kenapa jadi begini?

LAGU-LAGU patriotik itu macam tidak bererti sekarang, semangatnya sudah hilang. Maka ada sesetengah kita yang langsung tidak patriotik, buta hati kerana sudah mengecap kekayaan.Ada seorang taikun bergelar Tan Sri sedap sahaja membuat kenyataan yang menyakitkan hati, menyinggung perasaan, celupar dan sekali gus tidak bertanggungjawab.

Katanya, askar kita ‘hanya makan tidur’. Memang mulut tidak berinsurans! Apakah dia faham apa yang dicakapkan? Atau, dia sengaja mencari fasal?

Setelah dihentam dan dikritik hebat oleh semua pihak di media sosial, Tan Sri berkenaan akhirnya meminta maaf.

Artikel Berkaitan:

Maaf tidak bererti lagi, dia telah mencederakan perasaan bukan sahaja anggota keselamatan, malah semua rakyat yang cintakan negara ini.

Patutkah orang semacam ini dimaafkan, dan diberi muka?

ZAMAN budak-budak di kampung, saya tidak ada masalah langsung dengan kawan-kawan berbilang kaum. Cina, India, Serani, Punjabi semua jadi kawan.

Kita boleh duduk dan makan sekali di kantin sekolah – walaupun ada murid Cina bawa bekal daging babi panggang. Pelajar India (Hindu) boleh duduk sebelah Melayu yang makan kari lembu.

Kita belajar, main, gaduh, baik semula, gaduh semula, baik lagi dan berkawan macam adik-beradik. Tidak timbul langsung masalah agama, masalah adat, semua okey.Tetapi sekarang, kita jadi semakin takut dan cuak sesama kita. Hendak bercakap kena hati-hati sekali. Ada sesetengah perkataan yang dulu-dulu adalah percakapan biasa, kini langsung tidak boleh sebut.

Salah cakap dianggap rasis. Orang lain sebut tidak mengapa, kita sebut jadi rasis.

Sekarang banyak sangat orang politik, banyak sangat parti politik. Orang dan parti politik inilah yang sebenar-benarnya memecah belahkan perpaduan kaum.

Orang politik membangkitkan hal-hal rasis untuk memenangi hati kaum masing-masing. Tidak kira parti, tidak kira warna, kita kena tolak mana-mana politik yang terlampau perkauman.

MERDEKA dulu-dulu orang menyanyi lagu Bahasa Kebangsaan dan berteriak ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Malangnya setelah 62 tahun merdeka, bahasa kita masih tidak ‘berjiwa’.

Malah, Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan semakin tidak dipedulikan. Kita sibuk bercakap hendak menghidupkan tulisan jawi dan seni khat, itu pun orang perlekehkan dan akhirnya kita tunduk, hilang kekuatan, hilang tenaga.

Bahasa kita dipinggirkan, tulisan jawi dan khat ditentang dan kita tidak berani bertegas. Mana maruah kita?

AKHIR kalam, hatta hendak pakai nama ala-ala Islam pun ada orang tidak setuju. Nama orang putih – ‘Paradise Height’, ‘Bangsar South’, ‘Strawberry Park’ dan pelbagai nama asing yang lain, semua boleh.

Tetapi bila sebut ‘Raudah City’ ada pula yang jaki dan berpendapat nama seperti itu tidak sesuai bagi Malaysia yang penduduknya berbilang kaum dan agama.Projek perumahan Islam moden di Cyberjaya bernilai RM12 bilion itu konon akan menakutkan orang bukan Islam, padahal iklan projek tersebut tidak mengehadkan hanya pembeli Islam.

Kata iklannya: "Bandar Moden Islam Pertama di Malaysia”, “Jom Kita Berjiran” dan “Jiran Dunia Akhirat”.

Lagi pun kita sudah lama ada ‘China Town’ (di Jalan Petaling KL), dan ‘Little India’ (Brickfields), tidak ada pun isu, okey saja. Kenapa ‘Raudah City’ jadi isu?

Semoga pemajunya, Raudhah City Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), tidak goyah, dan meneruskan projek tersebut.