Kerajaan sasar 100 peratus susu segar tempatan

Salahuddin meninjau aktiviti kilang susu milik The Holstein Milk Company sempena lawatan kerja beliau ke kilang itu hari ini.
Salahuddin meninjau aktiviti kilang susu milik The Holstein Milk Company sempena lawatan kerja beliau ke kilang itu hari ini.
A
A
A

MUADZAM SHAH - [DIKEMASKINI] Kerajaan menyasarkan 100 peratus kadar sara diri (SSL) pengeluaran susu segar negara dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, SSL bagi susu segar di negara ini berada pada 61.44 peratus berdasarkan perangkaan ternakan 2018.

Menurutnya, permintaan susu segar di negara ini pada 2018 sebanyak 67.1 juta liter dan daripada jumlah itu hanya 40.36 juta liter adalah susu segar tempatan manakala selebihnya 26.74 juta liter diimport dari beberapa negara pengeluar termasuk Australia dan New Zealand.

"Unjuran 100 peratus SSL susu segar mampu dicapai dalam tempoh sasaran berdasarkan usaha komprehensif kementerian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pemain industri.

"Keyakinan ini turut disandarkan kepada usaha kementerian mewujudkan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara (projek rintis) iaitu inisiatif di bawah Sumber Kekayaan Baharu (SKB) yang sedang dilaksanakan bagi memperkasa dan meningkatkan industri tenusu negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena lawatan kerja dan Majlis Perasmian Kilang Memproses Susu Syarikat The Holstein Milk Company Sdn Bhd, di sini hari ini.

Salahuddin menandatangani plak perasmian kilang susu milik The Holstein Milk Company disaksikan Dr Quaza Nizamudin, Loi Tuan Ee dan Azmi.
Salahuddin menandatangani plak perasmian kilang susu milik The Holstein Milk Company disaksikan Dr Quaza Nizamudin, Loi Tuan Ee dan Azmi.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, Pengarah Urusan dan Pengasas The Holstein Milk Company, Loi Tuan Ee dan Ketua Pegawai Operasi syarikat itu, Azmi Zainal.

Artikel Berkaitan:

Salahuddin berkata, Program Pembangunan Industri Tenusu Negara merupakan kesinambungan Program EPP 13- Klauster Tenusu pada 2011 dan berakhir tahun hadapan.

"Melalui Program EPP13 berjaya meningkatkan pengeluaran susu negara daripada 27.02 juta liter pada 2012 kepada 36.61 juta liter pada 2017.

"Manakala di bawah Program Pembangunan Industri Tenusu Negara, kementerian menyasarkan peningkatan susu segar negara dengan peningkatan sebanyak 20 juta liter melalui pengimportan 10,000 induk tenusu bunting dalam tempoh lima tahun," katanya.

Menurutnya, beberapa lembah tenusu sedang dan akan dibangunkan di bawah program tersebut termasuk Lembah Tenusu Muadzam ( Pahang dan sebahagian Negeri Sembilan serta Johor), Lembah Muallim,Perak,Lembah Tenusu Larut-Matang-Selama,Perak, Lembah Tenusu Ulu Bernam, Selangor dan Lembah Tenusu Borneo, Sabah, Sarawak.

"Melalui program ini, enam syarikat termasuk The Holstein Milk Company Sdn Bhd terlibat bagi Skop Transformasi Usahawan Berskala Besar yang dibantu melalui insentif kerajaan berjumlah RM3.2 juta manakala 41 penternak di Lembah Tenusu Muadzam menerima insentif berjumlah RM4.87 juta," katanya.

Salahuddin meninjau aktiviti kilang susu milik The Holstein Milk Company sempena lawatan kerja beliau ke kilang itu hari ini.
Salahuddin meninjau aktiviti kilang susu milik The Holstein Milk Company sempena lawatan kerja beliau ke kilang itu hari ini.

Beliau berkata, insentif tersebut disampaikan kepada semua penerima pada majlis itu hari ini.

"Kita melihat industri tenusu negara mampu berkembang berdasarkan prestasi ditunjukkan Syarikat The Holstein Milk Company di mana syarikat ini berjaya menghasilkan enam juta liter susu setahun melalui kilangnya di Lembah Tenusu Muadzam ini.

"Pada masa sama, syarikat ini turut mewujudkan 32 stokis dan 620 home dealers bagi tujuan pemasaran sekali gus memberi peluang kepada usahawan menceburi bidang penjualan susu dengan meraih pendapatan lumayan dari RM10,000 hingga RM25,000 sebulan (stokis) dan RM700 hingga RM5,000 (home dealers)," katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian juga mengalu-alukan syarikat termasuk koperasi melabur dalam industri tenusu ini kerana potensinya cukup besar dan mampu berkembang.

"Selain itu pihak kementerian juga mencadangkan supaya susu segar keluaran tempatan dibekalkan ke sekolah-sekolah di bawah program bantuan makanan berkhasiat seperti mana dirancangkan Kementerian Pendidikan," katanya.