Tubuh jawatankuasa khas pantau harga getah

Mohd Taufik (dua dari kanan) menyampaikan agihan daging korban kepada penerima.
Mohd Taufik (dua dari kanan) menyampaikan agihan daging korban kepada penerima.
A
A
A

BALING - Bagi menangani kejatuhan harga getah, satu jawatan Pemantauan dan Pengawalan Harga Getah peringkat daerah Baling akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd Taufik Yaacob berkata, jawatankuasa berkenaan akan bertindak mengawal harga getah daripada terus jatuh merudum sekali gus membantu menstabilkan ekonomi penoreh.

"Harga getah sebelum ini bagi Standard Malaysian Rubber (SMR) ialah RM6 ke atas kini sudah jatuh di paras bawah RM5 bagi sekilogram harga getah skrap.

"Bagi harga di ladang pula harga getah skrap untuk sekilogram jatuh daripada RM2.80 ke paras RM2.30," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Mohd Taufik yang juga Penyelaras Parlimen Baling menghadiri Program Majlis Korban Pusat Khidmat Penyelaras Dun Kupang di pekan Kupang.

Beliau berkata, satu mesyuarat tindakan daerah bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan termasuk Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah diadakan baru-baru ini bagi merealisasikan perkara tersebut.

"Dalam mesyuarat itu cadangan daripada saya itu dipersetujui. Pembentukan jawatankuasa terdiri daripada pelbagai agensi termasuk pelesen dan pihak kilang akan ditubuhkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, tugas-tugas jawatankuasa berkenaan akan memainkan peranan memberi pandangan berkaitan harga getah semasa setiap kali mesyuarat bulanan diadakan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam setiap perjumpaan itu kita mahukan laporan harga getah di seluruh tujuh mukim dalam Parlimen Baling.

"Kita akan bertanya secara langsung kepada pelesen dan pengilang mengapa harga pada hari tersebut dibeli pada harga rendah," katanya.

Beliau berkata, melalui penjelasan kedua-dua pihak itu, kesemua jawatankuasa terlibat akan mencari jalan penyelesaian.

"Jawatankuasa ini pertama akan ditubuhkan di negara ini. Saya harap di kawasan lain dapat melakukan perkara yang sama," katanya.