Rasuah: Kes Eng Boon, Tengku Adnan dibicarakan bersama

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah melibatkan ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dibicarakan bersama.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, mengikut Seksyen 170 Kanun Prosedur Jenayah memberi kuasa kepada mahkamah untuk membicarakan lebih daripada seorang tertuduh jika pertuduhan itu berkaitan dengan kesalahan dilakukan dalam transaksi sama.

Beliau berkata berdasarkan pertuduhan itu, ternyata fakta-fakta yang dikemukakan dalam transaksi itu adalah sama.

“Tarikh, lokasi, jumlah wang, cek, pemilik akaun, kelulusan bagi pembangunan projek itu semuanya sama. Senarai dokumen yang diserahkan kepada pihak pembelaan di bawah Seksyen 51A CPC dalam kedua-dua kes adalah sama.

"Kemungkinan besar saksi-saksi sama akan dipanggil, oleh itu saya membenarkan permohonan ini untuk dibicarakan bersama,” kata yang kemudian menetapkan 20 Ogos bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Faisal Moideen mewakili Tan.

Pada 15 November tahun lalu, Eng Boon yang juga pengarah sebuah syarikat pembangunan hartanah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi suapan kepada Tengku Adnan, 68, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan.

Eng Boon didakwa melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pengarah syarikat itu juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak di sini pada 2013. - Bernama