Sungai Lombong, Tanjung Kepah jadi lokasi pelancongan baharu Perak

Kar Hing
Kar Hing
A
A
A

LUMUT - Kerajaan negeri bercadang membangunkan Sungai Lombong serta Tanjung Kepah di Lekir sebagai kawasan ekopelancongan dan pelancongan akuakultur terbaharu di Perak.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya sedang merancang satu pelan utama bagi memastikan lokasi pelancongan itu dapat dibangunkan dengan jayanya.

"Kita tidak perlukan dana yang banyak tetapi mungkin bajet minimum untuk bangunkan infrastruktur. Sekarang kita mengenal pasti masalah, status tanah sama ada membabitkan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Daerah dan Tanah atau Jabatan Laut.

"Kita akan membincangkan pelan utama untuk melihat pembangunan yang lebih spesifik, bentuk pelancongan di sini serta usaha untuk mendapatkan peruntukan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan," katanya pada sidang media selepas lawatan ke lokasi berkenaan hari ini.

Katanya, projek berkenaan juga mendapat jalinan kerjasama serta bantuan daripada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar.

"Yang dibangunkan adalah kawasan persisiran pantai dan kita akan bangunkan dalam jajaran kira-kira empat kilometer membabitkan infrastruktur serta fasiliti secara berperingkat.

"Kita mahu pembangunan yang lebih holistik kerana kawasan ini berpotensi tinggi menjadi ekopelancongan dan akuakultur terbaharu,” katanya.

Selain itu, Tan berkata, kedua-dua kawasan yang terletak berhampiran antara satu sama lain itu strategik dibangunkan sebagai kawasan pelancongan kerana berdekatan dengan jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Hutan Melintang-Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedudukan berdekatan dengan WCE itu membolehkan penduduk di kawasan setempat mengambil peluang menjana ekonomi masing-masing, terutamanya apabila kedua-dua lokasi berkenaan mendapat perhatian pelancong. - Bernama