Najib gagal singkir Sri Ram kendalikan kes pendakwaan 1MDB

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai pendakwa raya untuk mengendalikan perbicaraan semua kes berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Najib kerana mendapati permohonan itu tidak bermerit.

Bagaimanapun korum itu bersetuju dengan permohonan Najib supaya pihak pendakwaan mengemukakan surat lantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya dalam kes-kes berkaitan 1MDB kerana tiada keterangan menunjukkan dokumen pelantikan itu diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Korum itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusof; Datuk Mohd Zawawi Salleh; Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; dan Tan Sri Idrus Harun.

Najib, 66, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang menolak rayuannya supaya Sri Ram digugurkan daripada mengendalikan kes 1MDB selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya pada 1 Mac lalu.

Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Perbicaraan kes empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) berhubung 1MDB akan diteruskan pada 19 Ogos ini.

Najib juga menghadapi tuduhan pecah amanah wang 1MDB bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berjumlah RM6,636,065,000 yang mana pendakwaan kes itu juga dikendalikan Sri Ram.

Artikel Berkaitan:

AKAN MENYUSUL