Najib gagal gantung prosiding 1MDB

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat, menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung sementara perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada peguam utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar selaku responden.

Ketika membaca keputusan penghakiman yang diperoleh secara sebulat suara, Hadhariah berkata, panel bersetuju dengan hujahan responden bahawa Najib selaku pemohon gagal menunjukkan keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan prosiding kes itu digantung.

Menurutnya, panel hakim tidak bersetuju dengan hujahan peguam bahawa rayuan permohonan Najib supaya Hakim Sequerah menarik diri akan menjadi sia-sia jika menggantung prosiding 1MDB ini tidak dibenarkan.

“Kes ini telah dibicarakan selama 173 hari dengan seramai 46 saksi dipanggil memberikan kererangan.

"Maka mahkamah mendapati, permohonan berkenaan tidak bermerit, justeru itu permintaan ini ditolak," katanya yang turut bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Susulan keputusan itu, perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan berlangsung pada Isnin hingga Rabu depan, akan diteruskan dengan sesi soal balas saksi pendakwaan ke-46, bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Pada Khamis, Najib memfailkan permohonan itu di Mahkamah Rayuan di sini berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permintaannya supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini menarik diri daripada mendengar perbicaraan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Najib memohon hakim itu menarik diri dengan alasan berlakunya konflik kepentingan susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co ketika menjadi peguam, 10 hingga 15 tahun lalu.

Terdahulu pada 14 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib memfailkan permohonan supaya hakim Collin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes dana 1MDB itu.

Sekiranya permohonan itu dibenarkan, pihaknya memohon supaya keseluruhan perbicaraan dibatalkan dan tertuduh dibebaskan daripada tuduhan tersebut.

Sementara pilihan kedua ialah supaya perbicaraan itu didengar hakim baharu dan pilihan ketiga, supaya perbicaraan bersambung dan diteruskan oleh hakim Mahkamah Tinggi baharu.

Dalam prosiding 26 Julai lalu, Hakim Collin mendedahkan, Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co), ketika beliau menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.

Isu itu dibangkitkan pihak pembelaan Najib yang mendapat pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Ini kerana Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding, Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan baharu untuk menggantung prosiding 1MDB di Mahkamah Persekutuan di sini, Isnin depan.