'Kami perlukan bantuan rumah'

Mohd Sukirman (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil mangsa kebakaran di Kampung Dusun Jalan Bayam hari ini.
Mohd Sukirman (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil mangsa kebakaran di Kampung Dusun Jalan Bayam hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Mangsa kebakaran membabitkan tujuh kediaman di Kampung Dusun Jalan Bayam berharap kerajaan negeri dapat menyediakan penempatan sementara untuk mangsa yang terjejas.

Mangsa, Ramli Hussain, 61, berkata, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM150,000 apabila rumah yang berusia 40 tahun hangus sepenuhnya.

Walaupun mengalami kerugian, namun dia bersyukur kerana ibunya, Fatimah Yahya, 89, yang lumpuh sejak empat tahun lalu, tidak berada di tempat kejadian.

“Mujurlah ibu berada di rumah kakak. Jika tidak, kakak mungkin menghadapi masalah untuk memapah ibu keluar dari tempat kebakaran.

“Saya harap kerajaan dapat bantu memandangkan kakak saya merupakan ibu tunggal dan perlu menjaga ibu yang sakit,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh rumah hangus terbakar

Sementara itu, wakil Pengerusi Penggerak Nasional Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, bantuan perumahan itu perlu diberi keutamaan bagi meringankan beban 30 mangsa yang hilang tempat tinggal.

Menurutnya, kebakaran membabitkan tujuh rumah itu turut membimbangkan masyarakat sekitar kerana berada di lokasi berpenempatan padat.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap jabatan bomba dan penyelamat dapat membuat pemeriksaan berkala iaitu menyentuh aspek keselamatan pendawaian elektrik, penyediaan pili bomba dan kemudahan alat pemadam api di rumah.

“Usaha itu dapat mengelakkan kejadian sama berulang, selain membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memastikan keselamatan diri di rumah,” katanya pada sidang media majlis penyerahan bantuan wang kepada mangsa kebakaran di sini hari ini.

Mohd Sukirman yang juga Penyelaras Khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kelantan) berkata, bantuan NGO di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu diharap dapat mengurangkan kesulitan yang dihadapi mangsa terlibat.