Penganggur bakar rumah, mengamuk bomba padam kebakaran

Pasukan bomba berjaya memadam kebakaran di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat. Seorang lelaki yang ditahan selepas dipercayai tindakannya membakar langsir bilik di sebuah kediaman di Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat.
Pasukan bomba berjaya memadam kebakaran di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat. Seorang lelaki yang ditahan selepas dipercayai tindakannya membakar langsir bilik di sebuah kediaman di Damansara, Petaling Jaya pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penganggur diberkas kerana menghalang petugas penyelamat untuk masuk ke dalam rumah bagi memadam kebakaran di Seksyen 17 Damansara, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kebakaran itu pada jam 3.33 petang.

Menurutnya, sepasukan polis dan bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Ketika petugas operasi hendak masuk ke dalam rumah terbabit, seorang lelaki yang bersenjatakan pisau telah menghalang anggota terbabit.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya masuk ke dalam rumah, manakala bomba berjaya memadamkan kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek berusia 42 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan.

Katanya, suspek merupakan penganggur yang menyewa di bilik rumah terbabit.

"Tindakannya membakar langsir bilik tidur telah menyebabkan kebakaran. Dipercayai suspek dalam keadaan khayal akibat positif dadah," ujarnya.

Tambahnya, suspek yang didapati positif dadah hasil saringan air kencing itu telah direman empat hari sehingga Isnin depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.