JAS lakukan 61 penahanan operasi mesin

Simon (tengah, belakang) bersama sebahagian Exco dan ADUN PH pada Sidang DUN Kedah ke 14 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Simon (tengah, belakang) bersama sebahagian Exco dan ADUN PH pada Sidang DUN Kedah ke 14 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah melakukan 61 penahanan operasi (mesin) terhadap kilang pemprosesan plastik haram dari Jun hingga 15 Julai lalu di negeri ini.

Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min berkata, sebanyak lapan kompaun, dua notis arahan, dua kertas siasatan dibuka untuk tindakan mahkamah dan satu perintah larangan diambil JAS Kedah.

Menurutnya, usaha berkenaan diambil JAS Kedah kerana memandang serius isu kilang kitar semula plastik di Kedah.

"Untuk itu, kita komited melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai pihak seperti Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Syarikat Air Darul Aman (Sada).

"Antara lain, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju menghentikan pengeluaran lesen baru kepada premis dan kilang terbabit dalam kitar semula plastik yang tidak dibenarkan import ke dalam negara kecuali mematuhi syarat ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Robert Ling Kui Ee (PKR-Sidam) berkaitan status tindakan pemprosesan plastik haram di Kedah pada Sidang DUN Kedah ke 14 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bersetuju mengambil tindakan serta-merta untuk menutup dan menghentikan operasi kilang beroperasi tanpa lesen, sekaligus tindakan undang-undang ke atas kilang itu.

Simon berkata, PBT juga bersedia mengambil tindakan penyelarasan ataupun bersepadu bersama agensi berkaitan terhadap kilang beroperasi tanpa lesen itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan berkenaan diambil demi memastikan kilang-kilang yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mematuhi semua kehendak perundangan berkaitan,” katanya.

"Tidak ketinggalan, sebanyak 16 kilang pemprosesan plastik haram dikenakan kompaun, ditutup dan dihentikan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Simon berkata, akta sedia ada didapati memadai demi mengawal pencemaran yang berpunca daripada kilang-kilang haram.

Katanya, bagaimanapun pelaksanaan ataupun penguatkuasaan dirasakan perlu ditambah baik demi memastikan tindakan diambil lebih berkesan.