Bahan kimia mungkin untuk dijual

Polis tidak menolak kemungkinan tong yang mengandungi bahan sodium sianida dipercayai untuk dijual kepada pihak tertentu. (Gambar kecil, Abdul Jalil)
Polis tidak menolak kemungkinan tong yang mengandungi bahan sodium sianida dipercayai untuk dijual kepada pihak tertentu. (Gambar kecil, Abdul Jalil)
A
A
A

KUANTAN - Penemuan 15 tong hitam yang dipercayai mengandungi sodium sianida yang ditemui di ladang kelapa sawit di Karak Jumaat lalu, berkemungkinan untuk dijual kepada pihak tertentu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu disebabkan bahan kimia tersebut banyak digunakan dalam industri perlombongan emas dan dipercayai menjadi tempat pengumpulan, sementara menanti pembeli mengambilnya.

Menurutnya, terdapat kemungkinan juga bahan kimia itu sengaja ditinggalkan bertujuan dilupuskan kerana difahamkan, kos melupuskan sodium sianida terlalu tinggi.

"Kita telah terima laporan dan siasatan menyeluruh pelbagai kemungkinan sedang dijalankan. Ada kemungkinan ia untuk dijual kepada pihak tertentu dan mereka tinggalkan tong bahan kimia itu sementara menanti pembeli.

"Untuk melupuskannya (sodium sianida) juga memakan kos yang tinggi dan ia perlu dilakukan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

"Kemungkinan pihak ini tidak mahu menanggung kos yang besar dan sengaja meletakkan semua tong itu di kawasan ladang itu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, lapan anggota polis terpaksa mendapatkan rawatan selepas disyaki terhidu gas sodium sianida ketika membuat pemeriksaan ke atas 15 tong itu sebaik menerima maklumat awam.

Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang turut dikerahkan membuat pemeriksaan dan sampel kimia tersebut telah dihantar kepada Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor bagi mengenal pasti bahan kimia berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, empat anggota polis dibenarkan keluar setelah menerima rawatan di Hospital Bentong.

Menurutnya, dua daripada anggota polis telah dibenarkan pulang petang semalam, manakala dua lagi anggota telah dibenarkan pulang hari ini setelah keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Selepas ketibaan pasukan JAS dan Hazmat JBPM, lapan anggota terbabit meminta izin untuk pulang kerana rasa tidak sihat.

“Mereka bagaimanapun masih diberikan cuti rehat bagi memastikan benar-benar pulih sebelum kembali bertugas," katanya.

Beliau berkata, selepas menerima keterangan lapan anggota bertugas, kesemua mereka dipercayai terhidu bahan kimia berkenaan sehingga mengalami pening kepala dan loya tidak lama selepas berada di lokasi berkenaan.

“Mereka juga meminta kebenaran pegawai atasan untuk dilepaskan daripada tugasan lebih awal, namun sebagai langkah berjaga-jaga, pegawai atasan mengarahkan mereka ke klinik kesihatan dengan empat daripadanya dimasukkan ke Hospital Bentong,” katanya.