Cadang ART pengangkutan awam baharu di Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) merasmikan sambutan Ulang Tahun Hari Bandaraya Kuching ke-31 di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) merasmikan sambutan Ulang Tahun Hari Bandaraya Kuching ke-31 di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak merancang untuk mengunakan teknologi sistem ‘Autonomous Rapid Transit’ (ART) yang boleh mengangkut jumlah maksimum 400 orang penumpang pada satu masa, sebagai pengangkutan awam baharu bandar raya Kuching.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sistem ART itu mempunyai gerabak seperti kereta api tetapi bergerak menggunakan tayar di atas jalan raya dan bukannya atas rel.

“Ia (ART) ada peralatan yang membolehkannya membaca tanda (laluannya) di atas jalan raya. Ia ada gerabak dengan setiap gerabak boleh membawa seramai lebih kurang 85 penumpang,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-31 Bandaraya Kuching di Kompleks Islam Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Chan Khay Syn.

Abang Johari berkata, sistem ART boleh membawa maksima sehingga lima gerabak yang membolehkan jumlah penumpangnya mencecah 400 orang di samping kosnya juga lebih murah berbanding sistem Light Rapid Transit (LRT) di Kuala Lumpur, kerana ia tidak perlu dibina jejantas.

“Kosnya boleh jadi satu pertiga sahaja dari kos LRT, murahlah. Ini masih dikaji dan berkemungkinan besar (akan digunakan di bandar raya Kuching),” katanya.

Katanya kerajaan negeri hanya perlu melebarkan sahaja laluan jalan sistem ART di bandar raya ini dan laluan itu dikhususkan untuk digunakan gerabak ART sahaja bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan samada percubaan pengunaan sistem ART di bandar raya ini dapat dilakukan tahun ini dan warga Kuching perlu menunggunya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Abang Johari berkata percubaan pengunaan tiga bas hidrogen pula kemungkinan bermula bulan ini dan seterusnya menjadikan bandar raya Kuching yang pertama di Asia Tenggara mengunakan teknologi itu. - Bernama