Pemilik kedai, pembantu didakwa simpan rokok seludup

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik kedai bersama pembantunya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini hari ini atas tuduhan menyimpan 1,254,160 rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM111,718.40, dua minggu lalu.

Tertuduh, Roslan Abdullah, 53, dan warga Indonesia, Sriani, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa menyimpan rokok pelbagai jenama sebanyak 1,254,160 batang bernilai RM111,718.40 yang dilarang pengimportannya di bawah Butiran 1, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu jam 5.42 pagi pada 12 Julai lalu di alamat B-1-3-2, Pangsapuri Casa Magna, Jalan Prima 10, Metro Prima, Kepong.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 (Pindaan) (No 2) 2018 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan denda minimum 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia, Aznira Othman menawarkan jaminan RM20,000 kepada Roslan manakala tidak menawarkan jaminan kepada Sriani.

Bagaimanapun, peguam Datuk Gobinath Mohanna yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan terhadap Roslan dan membenarkan jaminan diberikan kepada Sriani.

Mahkamah membenarkan Roslan dan Sriani masing-masing diikat jamin RM8,000 serta diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pasport milik Sriani juga ditahan di mahkamah sehingga kes selesai.

Pada 18 Julai lalu, Roslan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengangkut 88,000 batang rokok seludup bernilai RM8,768 menggunakan kenderaan pacuan empat roda di pos pengawal sebuah pangsapuri di Kepong.