Tumpu usaha hentikan jualan rokok seludup popular

Malaysia boleh kurangkan masalah penyeludupan rokok tegar dengan tumpukan usaha penguatkuasaan dan ketatkan langkah keselamatan di sekitar kawasan pantai negara. - Gambar kecil: Fazli
Malaysia boleh kurangkan masalah penyeludupan rokok tegar dengan tumpukan usaha penguatkuasaan dan ketatkan langkah keselamatan di sekitar kawasan pantai negara. - Gambar kecil: Fazli
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia boleh mengurangkan masalah penyeludupan rokok tegar dengan menumpukan usaha penguatkuasaan dan mengetatkan langkah keselamatan di sekitar kawasan pantai negara.

Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri, Datuk Fazli Nordin berkata, adalah membingungkan apabila jenama rokok haram popular yang menguasai lebih 30 peratus jualan pasaran semua jenis rokok di negara ini telah diterjemahkan sebagai kerugian berjumlah RM1 bilion hasil cukai kepada kerajaan setiap tahun.

“Bagaimanakah jenama yang tidak membayar cukai dan tidak mematuhi mana-mana peraturan dan undang-undang dibenarkan berkembang dan membanjiri pasaran rokok Malaysia, membolehkan penjenayah mengaut keuntungan lebih RM500 juta setiap tahun?” soal beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas laporan berita baru-baru ini yang menunjukkan bahawa tiga jenis rokok seludup iaitu John, Canyon dan Era mencatat peningkatan lebih daripada 28 peratus daripada semua jenis rokok yang dijual di Malaysia.

Menurut Fazli, penyeludupan rokok bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan wang tetapi juga memberi kesan negatif kepada prestasi pemain industri yang mematuhi undang-undang.

Bahkan katanya, ia menghantar mesej yang salah kepada pelabur asing selain membiayai jenayah dan memudahkan rasuah.

“Jelas sekali, kesan pengganda negatif daripada membenarkan jenama rokok haram seperti John berkembang jauh melebihi kerugian RM1 bilion kepada ekonomi Malaysia,” tambahnya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Kerajaan Perpaduan supaya melaburkan lebih banyak masa, usaha dan sumber untuk menghapuskan jenama rokok haram terlaris secara berkesan untuk selama-lamanya.

Ujar beliau, dengan berbuat demikian, negara akan dapat mengurangkan kelaziman rokok haram yang kini hampir 60 peratus secara nyata.

“Penguatkuasaan adalah faktor kejayaan kritikal ke arah menghapuskan jenama rokok haram terkemuka terutamanya di kawasan pesisir pantai yang menjadi tempat yang popular bagi sindiket jenayah membawa masuk produk seludup mereka,” ujarnya.

Kata Fazli, larangan kerajaan terhadap pemindahan kapal telah berjaya dan mesti dikekalkan.

Maka beliau mencadangkan agar penguatkuasaan dipertingkatkan dengan lebih banyak 'boots-on-the-ground' menggunakan teknologi yang lebih baik seperti dron, CCTV serta latihan.

“Bagi memudahkan penguatkuasaan, agensi kita juga mesti boleh mengakses risikan terkini. Ini boleh dipermudahkan melalui penglibatan dengan komuniti berisiko di kawasan pantai dan mungkin sistem ganjaran disediakan untuk pemberi maklumat,” jelasnya.

Fazli berkata, terdapat keperluan untuk pihak berkuasa mempunyai penglibatan yang lebih baik dan perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasaan serta industri perundangan.

“Terdapat jenama rokok John di pasaran yang dijual secara sah, menepati harga minimum yang diperlukan dan peraturan lain.

“Pihak berkuasa dan 'John yang sah’ harus bekerjasama rapat untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap 'John yang tidak sah' untuk melindungi pengguna dan reputasi jenama," tegasnya.

Tambah Fazli, Advokasi Perusahaan dan Industri percaya bahawa kerajaan tidak mampu menanggung ketirisan tahunan RM5bilion yang disebabkan oleh pasaran rokok seludup, lebih-lebih lagi ekonomi Malaysia sedang bergelut untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

Pihaknya menganggap cadangan dasar Penama Generasi Rokok (GEG) melarang rakyat Malaysia yang lahir selepas tahun tertentu daripada membeli rokok, berpotensi menguntungkan jenama rokok seludup terlaris secara eksponen.

“Jenama seludup terlaris ini, yang mempunyai kekuatan kewangan dan beroperasi di atas undang-undang, sudah pasti akan mendorong produk mereka kepada yang dilarang membeli rokok.

"Tanggapan bahawa GEG akan menamatkan rokok haram adalah naif, memandangkan percambahan rokok haram dan rekod prestasi yang lemah dalam menguatkuasakan masalah ini," kata beliau lagi.