Tragedi kebaran rumah kedai: Masih tunggu laporan DNA

Waris mangsa korban kebakaran di Jelapang Maju, 11 Disember lalu menerima bantuan khirat kematian daripada empat agensi, hari ini.
Waris mangsa korban kebakaran di Jelapang Maju, 11 Disember lalu menerima bantuan khirat kematian daripada empat agensi, hari ini.
A
A
A

IPOH - Waris kepada enam mangsa korban dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Jelapang Maju, 11 Disember lalu masih menunggu keputusan penuh ujian DNA yang dijalankan.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata, meskipun sudah lebih dua minggu peristiwa itu berlaku, laporan berkenaan diperlukan bagi mengesahkan identiti anak mereka.

"Sampai sekarang kami belum dimaklumkan perkembangan ujian itu, walaupun dah selesai semuanya, kami nak tahu juga untuk melegakan hati masing-masing," katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khairat Kematian kepada waris mangsa kebakaran di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Sri Aman, Menglembu, hari ini.

Anaknya, Mohammad Nuraiman, 16, bersama empat lagi rakan, Mohamad Ekmal Izzuddin Mohamad Kamari, 16, Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Ahmad Faizal Aminuddin, 16 dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19, ditemui rentung dalam kebakaran yang berpunca daripada bahan letupan.

Turut terkorban, pemilik premis, P Thiagarajan, 40, ketika kejadian, mereka yang bekerja sambilan sempena cuti sekolah dipercayai sedang membuat persiapan majlis di tingkat atas bangunan.

Dalam pada itu, Mohamad Kamari Talib, 53, meluahkan rasa terkilan apabila sehingga kini, tiada wakil daripada syarikat terbabit datang berjumpa mereka.

"Kami tidak marah kerana benda dah jadi, tapi sekurang-kurangnya jumpalah kami, ucapkanlah kata maaf atau sebagainya itu pun dah cukup untuk tenangkan hati kami.

Artikel Berkaitan:

"Tenaga (pekerja) mereka mahu, tetapi bila jadi perkara seperti ini, seolah-olah mereka lepas tangan, di rumah mayat pun mereka tidak bertemu kami walaupun mereka juga ada di sana," katanya.

Aminuddin Tan, 40, pula berkata, selepas lebih dua minggu insiden itu berlaku, barulah mereka diberi kekuatan mengunjungi lokasi kejadian.

Katanya, sebelum ini, dia dan ahli keluarga lain tidak mahu meninjau lokasi terbabit kerana masih dibayangi insiden itu.

"Rasa pilu hati bila tengok bangunan itu, terasa seperti mereka masih ada di sana, tengah bekerja," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Jabatan Pendidikan Negeri menyampaikan Skim Takaful Kemalangan Diri Berkelompok sebanyak RM5,500 kepada setiap mangsa yang masih bersekolah.

Turut menyampaikan sumbangan, Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) melibatkan jumlah keseluruhan RM6,000, Masjid Abdul Rahman Auf di Kampung Rapat Koperasi dan Masjid Menglembu masing-masing RM2,500 dan RM1,000.