Enam maut, 20 hilang kebakaran asrama di New Zealand

Kesan kebakaran pada asrama Loafers Lodge di Wellington yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam mangsa. - Foto AFP
Kesan kebakaran pada asrama Loafers Lodge di Wellington yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam mangsa. - Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala kira-kira 20 lagi hilang selepas kebakaran melanda sebuah asrama empat tingkat di Wellington, New Zealand.

Perdana Menterinya Chris Hipkins mengesahkan kejadian itu di program berita pagi AM tempatan sambil berkata jumlah kematian dijangka meningkat.

"Ia adalah kejadian yang mengerikan. Dan sudah tentu, akan ada beberapa siasatan tentang apa yang telah berlaku dan mengapa ia berlaku. Tetapi buat masa ini, tumpuan jelas perlu diberikan kepada menangani situasi itu,” katanya seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

Menjawab laporan bahawa bangunan Loafers Lodge itu tidak mempunyai pemercik bomba, beliau berkata, pada masa ini tidak menjadi keperluan untuk bangunan lama dipasang dengan peralatan itu berdasarkan kod bangunan New Zealand.

Kebakaran dilaporkan berlaku selepas tengah malam dan berjaya dipadamkan sekitar jam 6 pagi waktu tempatan selepas lebih 10 kenderaan bomba dikerah ke tempat kejadian. - Bernama.