Skandal 1MDB: 4 Oktober pendengaran lucut harta UMNO Johor, LDP Sabah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 4 Oktober ini untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta dirampas daripada Badan Perhubungan UMNO Johor dan Parti Demokratik Liberal (LDP) Sabah yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 dari Badan Perhubungan UMNO Johor dan LDP Sabah berjumlah RM509,560.96.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika prosiding kes berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim.

Hakim Sequerah turut menetapkan 4 Sept ini untuk pengurusan kes berkenaan dan menetapkan 19 Ogos bagi Badan Perhubungan UMNO Johor dan LDP Sabah memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan pendakwaan itu.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Johor dan peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili LDP Sabah.

Sementara itu, mahkamah juga menetapkan 3 September ini bagi sebutan semula kes berhubung permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta dirampas daripada Obyu Holding Sdn Bhd yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memohon tarikh untuk sebutan semula kes bagi memanggil pihak ketiga yang berkepentingan ke atas harta yang disita daripada responden (Obyu Holding) untuk hadir ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Obyu Holding diwakili peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Pendakwa Raya memfailkan notis usul terhadap Obyu Holding selaku responden bagi memohon perintah supaya disiarkan notis di bawah Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001, bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut harta disita daripada syarikat itu untuk menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak harus dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Antara yang disita pada 17 Mei 2018 ialah 11,990 unit barang kemas, jam tangan 401 uts dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata (234) dan beg tangan (306) serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi disita pada 31 Jan 2019.

Selain itu, sebuah hartanah di sebuah Daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 Nov 2018. - Bernama