Permohonan Najib untuk gugurkan hakim kes 1MDB diputuskan esok

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes berhubung dana 1MDB pada Khamis. - Foto Bernama
Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes berhubung dana 1MDB pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan esok bagi memutuskan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar dan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas Perdana Menteri berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan selepas Sequerah, pada bulan lepas, mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat dengan bekas peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo Ai Swan, yang kini dalam tahanan polis.

Sebelum menetapkan tarikh itu, Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata, sepanjang tempoh berkhidmat dengan Tetuan Zain & Co bersama Jasmine, beliau tidak pernah menangani isu 1MDB, begitu juga dengan firma guaman tersebut pada masa yang berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah bahawa memandangkan Sequerah pernah bertugas dengan Jasmine, perkara itu boleh menghalang hakim tersebut daripada bertindak sebagai pemerhati yang adil dan berfikiran bebas ketika mendengar keterangan wanita itu jika beliau dipanggil menjadi saksi.

Muhammad Shafee juga berkata, Sequerah perlu memutuskan isu kebolehpercayaan Jasmine kerana beliau memainkan peranan yang penting (dalam 1MDB) dengan mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, iaitu "untuk menghalalkan perkara yang haram".

Beliau berkata, hakim itu akan berada dalam "kedudukan yang sukar" untuk memutuskan sama ada Jasmine perlu didakwa kerana memberikan keterangan bercanggah.

"Keputusan itu akan menimbulkan konflik dan memalukan Yang Amat Arif kerana hubungan Yang Amat Arif dengannya sebagai bekas rakan kongsi (di firma guaman itu)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada peringkat ini, Sequerah mencelah dan berkata, "memandangkan saya sendiri yang telah mendedahkan perkara itu, adakah anda berpendapat bahawa saya tidak boleh membuat keputusan yang adil dalam kes ini?

Muhammad Shafee menjawab "Yang Amat Arif masih perlu memutuskan fakta yang dikemukakan - melalui saksi lain - mengenai peranan Jasmine dalam 1MDB dan mendakwanya kerana memberi keterangan bercanggah, jika perlu.”

Hakim itu kemudian berkata, beliau sedia mendakwa Jasmine jika perlu dan wanita itu tiada bezanya dengan saksi lain.

Sementara itu, ketika membantah permohonan Najib, Kamal Baharin berhujah adalah jelas bahawa Jasmine telah meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Disember 2008 manakala Sequerah terus berkhidmat di situ sehingga beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 20 Jun 2014.

"Adalah jelas bahawa mereka bukan lagi rakan setugas selama kira-kira enam tahun sebelum Yang Amat Arif dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Peranan yang dimainkan oleh Jasmine dalam 1MDB bermula pada tahun 2011 manakala tempoh perkhidmatannya dengan Tetuan Zain & Co adalah antara 1998 dan 2008.

"Tiada perkaitan antara isu dalam perbicaraan ini dengan hubungan masa lalu Yang Amat Arif dan bekas rakan kongsinya di firma guaman dan kami berhujah Yang Amat Arif sebenarnya tidak perlu mendedahkan hubungan ini kerana ia boleh didapati daripada rekod awam," katanya.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Jasmine telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Di kandang tertuduh ialah Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung esok dan Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Bernama