Remaja cuba diheret ke dalam van putih

Mangsa menceritakan kejadian dia diheret lelaki bertopeng muka dan bersenjata pisau dalam kejadian di belakang Flat Hijau di Bandar Baru Kubang Kerian semalam. (Kanan: Kesan luka pada kaki mangsa dipercayai kesan pergelutan ketika diheret lelaki tidak dikenali ke dalam sebuah van putih dalam kejadian di belakang Flat Hijau di Bandar Baru Kubang Kerian Kota Bharu semalam.)
Mangsa menceritakan kejadian dia diheret lelaki bertopeng muka dan bersenjata pisau dalam kejadian di belakang Flat Hijau di Bandar Baru Kubang Kerian semalam. (Kanan: Kesan luka pada kaki mangsa dipercayai kesan pergelutan ketika diheret lelaki tidak dikenali ke dalam sebuah van putih dalam kejadian di belakang Flat Hijau di Bandar Baru Kubang Kerian Kota Bharu semalam.)
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun luka di kaki selepas mendakwa diheret seorang lelaki bertopeng yang menaiki van putih di belakang kawasan perumahan Flat Hijau di Bandar Baru Kubang Kerian di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari rumah seorang rakan yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Mangsa berkata, ketika berjalan bersendirian sebelum sampai kira-kira setengah kilometer dari rumahnya secara tiba-tiba datang sebuah van putih berhenti melintanginya.

“Ketika itu keluar seorang lelaki bertopeng penuh menutup muka sambil memegang sebilah pisau. Dia menarik saya ke arah van namun kami bergelut hingga saya berjaya melepaskan diri.

“Saya ketakutan berlari sekuat hati dan masuk semula ke arah bahagian dalam flat tersebut serta nampak van itu beredar ke lorong bersebelahan taman perumahan berhampiran,” katanya kepada media.

Menurutnya, dia meminta pertolongan penduduk sekitar dan menceritakan kejadian itu sebelum dibantu dihantar orang awam pulang ke rumahnya.

“Akibat kejadian itu saya mengalami luka kecil di belakang kaki kanan kerana bergelut ketika diseret lelaki tersebut.

“Saya takut kerana tidak pernah berlaku kejadian seperti ini dan selepas ini jadi takut hendak berjalan bersendirian walaupun di kawasan perumahan sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ibu mangsa yang berusia 41 tahun berkata, kejadian tersebut pertama kali berlaku dan dia sentiasa berpesan kepada anaknya supaya tidak bersendirian ketika bermain serta pulang lebih awal.

“Sebelum ini hanya dengar dari akhbar, tetapi hari ini terjadi pada anak saya sendiri. Sebagai ibu bapa sudah tentu berasa bimbang keselamatan anak-anak kerana kita tidak tahu apa-apa tujuan suspek bertindak sedemikian.

“Di kawasan ini sememangnya ada rondaan namun saya berharap supaya pemantauan dilakukan dengan lebih kerap terutama ketika waktu sunyi bagi menggelak kejadian sama berulang,” katanya.

Difahamkan mangsa membuat laporan dibuat di Balai Polis Kubang Kerian dan Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan daripada pihak polis.