Remaja lelaki dikhuatiri lemas dihanyutkan arus di Rompin

Mangsa dikatakan dihanyutkan arus semasa mencari kepah di sungai berkenaan. - Gambar hiasan
Mangsa dikatakan dihanyutkan arus semasa mencari kepah di sungai berkenaan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus dipercayai ketika mencari kepah di Sungai Lubuk Batu, Kota Bahagia, Rompin pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Iman Daniel Azri, 14, yang beralamat di Felda Keratong 4, Rompin sekitar 5.30 petang Khamis.

Beliau berkata, menurut maklumat daripada rakan mangsa, remaja itu dihanyutkan arus semasa mereka mencari kepah di sungai berkenaan.

Katanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dijalankan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

"Bagaimanapun, operasi SAR ditangguhkan pada 8.30 malam dan akan disambung esok," katanya dalam satu kenyataan malam Khamis. - Bernama

Artikel Berkaitan: