Ujian rintis 5G diperluas ke lima negeri

Gobind menunjuk Laporan Pertengahan Tahun Kajian Pasukan Petugas Khas 5G pada Majlis Penyerahan Laporan Pertengahan Tahun Pasukan Petugas Khas 5G di SKMM hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Gobind menunjuk Laporan Pertengahan Tahun Kajian Pasukan Petugas Khas 5G pada Majlis Penyerahan Laporan Pertengahan Tahun Pasukan Petugas Khas 5G di SKMM hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMASKINI] Ujian rintis rangkaian perkhidmatan 5G bakal diperluaskan ke lima negeri seperti Selangor, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Kedah selepas ia dilaksanakan di Cyberjaya dan Putrajaya April lalu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, walaupun terdapat permintaan yang tinggi di seluruh negara, namun sebagai permulaan fokus diberikan kepada lima negeri tersebut.

“Saya dimaklumkan selepas Pasukan Petugas Khas 5G ditubuhkan, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah ke setiap negeri untuk berjumpa dengan Menteri Besar, Ketua Menteri, dan exco-exco berkaitan untuk berbincang perkara ini.

“Kita juga banyak menerima pertanyaan daripada syarikat-syarikat tertentu daripada seluruh negara dan kita lihat memang ada permintaan yang tinggi, tapi kita beri fokus kepada lima negeri yang disebut tadi sebagai permulaan. Daripada segi Use Cases pula, sebanyak 66 telah dikenalpasti oleh kerajaan dan pemain industri.

“Bagaimanapun ini tidak bermakna bahawa usaha ini akan berhenti di situ, tapi kita akan perluaskan lagi mengikut keadaan dan tuntutan daripada industri dan negeri masing-masing,” katanya pada penyerahan Laporan Separuh Penggal dari Pasukan Petugas Khas 5G di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pembentangan Laporan Separuh Penggal dari Pasukan Petugas Khas 5G beliau berkata, ia merupakan laporan lengkap yang menyentuh empat aspek iaitu regulatori, pengurusan dan peruntukan spektrum, infrastruktur dan bidang perniagaan.

“Pasukan Petugas Khas ini telah ditubuhkan pada Oktober 2018 yang lalu dan sehingga kini dianggotai seramai 113 peserta daripada pelbagai latar belakang.

“Jumlah pelaburan dari pihak industri dalam perkara ini adalah sebanyak RM50juta dan ini akan digunakan bagi tempoh Oktober 2019 sehingga Mac 2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama beliau menjangkakan, laporan penuh Pasukan Petugas Khas 5G akan siap sepenuhnya sebelum akhir tahun ini sebelum diperbincangkan di peringkat Kabinet.

“Saya telah pun memberikan tempoh enam bulan bermula April lalu dan kalau ikutkan ia perlu siap Oktober ini.

“Tapi mungkin memerlukan sedikit lagi masa untuk menyediakan laporan spesifik dan kita harap sebelum akhir tahun ini sebelum saya bawa ke Kabinet,” katanya.

Beliau turut menyasarkan pada suku tahun depan, perkhidmatan 5G dapat dilaksanakan di beberapa lokasi tertentu.

“Kalau ikut apa yang kita telah rancang pada awalnya, kita jangka 5G boleh dilaksanakan pada suku tahun depan atau pertengahan tahun.

“Tapi ia akan fokus kepada tempat-tempat tertentu dahulu kerana keperluan untuk melaksanakannya mungkin lebih tinggi dan kita memang akan fokus kepada industri terlebih dahulu,” katanya.