Rumah Terbuka Malaysia Madani wajar diperluas ke setiap negeri

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

ALOR SETAR - Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani wajar diperluaskan ke setiap negeri kerana ia dapat mendekatkan lagi hubungan antara rakyat dengan kepimpinan kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO Kedah mencadangkan agar lebih banyak majlis seumpama diadakan di peringkat negeri bagi memperkenalkan Kerajaan Madani selepas diberikan mandat mentadbir negara.

Menurutnya, penganjuran di enam negeri juga tidak wajar dilabel sebagai pembaziran kerana ia merupakan majlis untuk meraikan rakyat di negeri terlibat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“UMNO Kedah menyambut baik keputusan kerajaan Pusat untuk menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di Hotel Raia, Alor Setar pada Sabtu ini.

“Ia sudah semestinya akan menjadi platform terbaik kepada rakyat negeri ini untuk bersua muka serta beramah mesra bersama Perdana Menteri serta Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan yang hadir,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Mahdzir berkata, tidak timbul isu sama ada penganjuran majlis berkenaan merugikan atau menguntungkan mana-mana pihak sekiranya yang mendapat manfaat ialah rakyat.

“Majlis berkenaan juga menyediakan peluang kepada seluruh rakyat Kedah untuk mendengar sendiri amanat daripada Perdana Menteri berhubung visi dan misi beliau dalam membangunkan setiap negeri terutamanya Kedah.

“Oleh itu, janganlah siakan peluang ini dan hadirlah untuk memeriahkan suasana selain menjamu selera di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani nanti,” jelasnya.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri akan diadakan di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan kerana melibatkan kos tinggi sedangkan kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan.