Kritikan terhadap Zakir Naik

A
A
A

ISU Zakir Naik ialah satu duri yang besar dalam pembangunan masyarakat di Malaysia.

Kita di Malaysia masih lagi berurusan dengan bagasi sejarah dan ketidakpercayaan kita sendiri pada tahap budaya, agama dan politik. Sekarang kita tambah pula dengan Zakir Naik. Bukannya kita maju ke hadapan, kita nampak seperti mengundur ke belakang dalam ketidakharmonian kebangsaan. Adakah kerajaan Malaysia yang baharu ini mahu mengambil cabaran ini? Saya rasa ia mahu... tetapi tanda-tanda kemahuan ini tidak berapa menggalakkan terutama sekali dengan isu Zakir Naik. Dalam artikel ini, saya ingin menjuruskan kontroversi Zakir Naik kepada suatu masalah definisi dan implikasi definisi itu.

Apakah definisi itu? Ia adalah satu idea tentang perbandingan agama sebagai satu bidang akademik yang sah. Ulama berpengaruh seperti Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tetap mengatakan bahawa Zakir Naik tidak bersalah daripada tuduhan orang Hindu bahawa beliau menghina agama mereka. Kepada Dr Asri dan kepada semua yang menyokong idea perbandingan agama sebegini, saya dengan segala hormatnya tidak setuju.

Dalam artikel ini, orang Islam perlu menilai secara jelas, secara akademik dan adil adakah Zakir Naik sebenarnya seorang pakar dalam perbandingan agama ataupun dia menggunakan satu cara dakwah yang meremehkan agama lain dengan mencari kesalahan dalam agama itu untuk menyesuaikan kerangka agama peribadinya sendiri.

Takrif

Pertama sekali, mari kita takrifkan bidang perbandingan agama. Daripada pemahaman saya, pengajian tentang perbandingan agama mungkin bermula dengan sekumpulan paderi mubaligh yang cuba untuk menukarkan agama orang lain kepada agama Kristian. Kegunaan pemahaman tentang agama lain adalah untuk memperkecilkan agama itu dan memasukkan agama mereka di dalam rangka budaya dan agama bagi agama lain.

Dalam zaman moden ini, pakar perbandingan agama selalunya tidak terikat dengan mana-mana agama kerana jika terikat dengan sesuatu agama, mereka boleh dianggap sebagai tidak adil.

Apakah objektif pembelajaran perbandingan agama kepada akademik jenis begini? Mereka mencari perkara yang sama dalam pelbagai agama dan menerangkan konflik dengan mencari asal usul elemen yang menjadi isu dalam masyarakat.

Ahli akademik ialah pakar global yang penting kerana mereka menjauhkan diri daripada pemikiran agama yang menjadi institusi dan bukan institusi. Ahli akademik ini berharap agar manusia akan menjadi lebih memahami dan bertoleransi apabila mereka memahami konsep agama dan amal dan sejarah yang mengiringinya dan juga kebijaksanaan supaya kita semua boleh hidup dalam dunia yang aman.

Oleh itu, dengan definisi itu, adakah Zakir Naik seorang pakar dalam perbandingan agama?

Artikel Berkaitan:

Yang pertama, beliau ialah seorang Islam yang komited. Yang kedua, beliau ialah pendakwah yang keluar untuk menukarkan orang yang beragama lain kepada agama Islam yang beliau fahami. Yang ketiga, beliau tidak pernah melalui kertas-kerja graduan dalam Doktor Falsafah atau menulis kertas kerja substantif yang dinilai oleh ahli akademik terkenal dalam bidang itu.

Apabila saya menaip frasa Profesor dalam perbandingan agama di Malaysia, tidak ada satu nama pun yang keluar. Apabila saya menaip Profesor dalam agama Kristian, tidak ada nama yang keluar. Apabila saya menaip Profesor dalam agama Hindu di Malaysia, tidak ada nama yang keluar. Apabila saya menaip Profesor dalam agama Buddha di Malaysia, tidak ada nama yang keluar. Apabila saya menaip Profesor dalam Islam, terlalu banyak nama ahli akademik keluar pada skrin.

Persoalan dalam fikiran saya adalah kenapa kita, di Malaysia, tiada Profesor dalam perbandingan agama atau agama Kristian, agama Buddha atau agama Hindu dalam negara ini? Salah satu jawapan mungkin kita tidak mahu mencetuskan konflik dalam debat antara agama.

Sekarang ini, jikalau kita menerima Zakir Naik sebagai seorang pakar perbandingan agama, kenapa kita tidak melantik beliau sebagai Profesor Malaysia yang pertama dalam perbandingan agama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia?

Akhir sekali, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak ada masalah dengan Zakir Naik sebagai seorang manusia dan sebagai seorang yang beragama Islam. Saya cuma ada masalah dengan metodologi dakwah beliau.

Dakwah ialah usaha kita sebagai seorang Islam untuk menjadi manusia terbaik tanpa perlu menukarkan agama orang lain.

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur