Runtuhkan budaya kronisme, nepotisme

Budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu dibanteras segera dengan meruntuhkan budaya kronisme dan nepotisme yang wujud terutamanya dalam kalangan penjawat awam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zakaria (kiri), Ibni Khalid)
Budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu dibanteras segera dengan meruntuhkan budaya kronisme dan nepotisme yang wujud terutamanya dalam kalangan penjawat awam. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zakaria (kiri), Ibni Khalid)
A
A
A

SHAH ALAM - Budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu dibanteras segera dengan meruntuhkan budaya kronisme dan nepotisme yang wujud terutamanya dalam kalangan penjawat awam.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Rasuah Busters Peringkat Negeri Pulau Pinang, Zakaria Ismail berkata, budaya tersebut sudah menjadi amalan dalam sesebuah organisasi terutamanya melibatkan kakitangan awam yang menyebabkan berlaku ketidakadilan.

Menurutnya, keadaan itu akan merosakkan prestasi sesebuah organisasi dan menyebabkan wujud isu ketidakpercayaan masyarakat terhadap sesebuah institusi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) itu sendiri.

“Budaya rasuah bukan saja melibatkan penerima, tetapi juga si pemberi. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) perlu memberi fokus terhadap pihak yang memberi rasuah untuk mengatasi budaya tersebut.

“Ini kerana, mereka (pemberi rasuah) dilihat masih bebas dan menganggap perkara tersebut bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, penjawat awam merupakan kumpulan paling ramai yang telah ditahan oleh SPRM berkaitan kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh 2018 hingga 2022.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, isu rasuah bukan hanya wujud dalam kalangan penjawat awam di sesebuah organisasi semata-mata.

Ujarnya, setiap individu harus mempunyai integriti yang tinggi serta berpegang teguh kepada ajaran agama dianuti masing-masing agar tidak terlibat dengan budaya rasuah.

Artikel Berkaitan:

Hukuman berat individu salah guna kuasa untungkan keluarga

Sementara itu, kerajaan disyorkan supaya mengenakan hukuman berat termasuk penjara minimum 10 tahun kepada individu yang menyalahgunakan kuasa demi menguntungkan keluarga dan saudara maranya.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Negeri Selangor, Ibni Khalid Jurait berkata, untuk membendung jenayah itu, individu terbabit juga perlu disekat daripada terlibat dalam bisnes bersama organisasi lain atau ditamatkan perkhidmatan serta-merta bagi kakitangan awam atau swasta.

Beliau percaya wujud segelintir pihak yang menyalahgunakan kuasa dengan membuka peluang kerja di media sosial, namun hanya sekadar memenuhi syarat.

“Kadangkala jawatan kosong yang diuar-uarkan itu sekadar cukup syarat untuk menampakkan seolah-olah ada ketelusan.

“Tetapi, hakikatnya ia sudah diisi terlebih dahulu oleh ahli keluarga atau saudara mara terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibni Khalid yang juga Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Selangor berkata, tidak dinafikan rasuah itu tersembunyi namun kesannya dirasai bertahun-tahun lamanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!