'Superman' masuk jerat polis

Aksi superman yang dilakukan dua pelakar sekolah menengah yang ditahan dalam Op Lumba Haram di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur.
Aksi superman yang dilakukan dua pelakar sekolah menengah yang ditahan dalam Op Lumba Haram di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Malang dan bawa padah. Itu nasib sekumpulan mat rempit yang dicekup selepas melakukan aksi merbahaya di ibu negara, awal pagi tadi.

Lagak ngeri itu dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi Ops Lumba Haram kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua penunggang motosikal itu ditahan kerana secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Greenwood dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke).

“Empat lelaki berusia 16 hingga 19 tahun telah ditahan selepas aksi 'superman' mereka dikesan.

"Pemeriksaan mendapati dua daripada yang ditahan adalah pelajar sekolah menengah di Wangsa Maju dan Selayang. Malah pelajar ini juga didapati tidak mempunyai lesen," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, operasi yang tamat pada jam 3 pagi ini turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

Dalam pada itu, menerusi operasi yang dijalankan di Jalan Pahang, di sini, bermula jam 10.30 malam, sebanyak 85 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi itu.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan tidak menampal pelekat P,” katanya.
Artikel Berkaitan: