Selepas 44 tahun, isu Rumah Panjang Bukit Kiara akhirnya selesai - Hannah

Hannah
Hannah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penantian selama 44 tahun penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara untuk mendapatkan perumahan yang dijanjikan akhirnya memasuki fasa penyelesaian apabila pembangunan rumah ganti dimulakan pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penyelesaian yang dicapai itu adalah berasaskan beberapa prinsip utama yang dipersetujui bersama termasuk memastikan penduduk rumah panjang itu menerima rumah ganti tanpa mengorbankan kepentingan alam sekitar.

“Rumah ganti dibangunkan dan disiapkan terlebih dahulu bagi membolehkan penduduk berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara. Pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar sahaja dan baki tanah diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai Kawasan Lapang Awam.

“Audit bersama melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Friends of Bukit Kiara (FOBK) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) turut dilaksanakan bagi memastikan pengurusan, pemeliharaan dan perlindungan pokok-pokok di kawasan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut menjelaskan, tapak kuil sedia ada turut dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sementara jumlah lot tempat letak kereta untuk Taman Rimba Kiara juga bertambah daripada 80 ke 150 lot.

Susulan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen beliau dalam memastikan isu yang telah berlarutan merentasi beberapa pentadbiran itu dapat diselesaikan secara tuntas.

“Pendirian Kerajaan Madani yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, memelihara Taman Rimba Kiara dan pada masa yang sama memastikan kebajikan penduduk terus terbela telah memungkinkan penyelesaian ini direalisasikan.

“Pembangunan ini membuktikan bahawa keperluan perumahan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar boleh dilaksanakan secara seiring melalui pendekatan yang mengutamakan kepentingan awam dan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, sejak 2018, beliau bersama penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail, FOBK, wakil komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan telah memperjuangkan penyelesaian bagi memastikan penduduk mendapat perumahan yang bermaruah tanpa mengorbankan pemeliharaan Taman Rimba Kiara

Artikel Berkaitan:

“Penyelesaian yang dicapai hari ini bukan berlaku dalam sehari. Ia merupakan hasil pelbagai siri perbincangan, rundingan dan mesyuarat yang melibatkan pelbagai pihak selama bertahun-tahun bagi mencari jalan penyelesaian yang dapat diterima semua pihak.

“Pendekatan berasaskan konsensus inilah yang akhirnya membolehkan satu penyelesaian yang adil dan mampan dicapai,” kata beliau.

Hannah turut merakamkan penghargaan khusus kepada wakil rumah panjang, Sivakumar Muniandy yang telah bersama beliau memperjuangkan penyelesaian isu tersebut selama lapan tahun.

Menurutnya, ketika pelbagai cabaran dan tekanan dihadapi, Sivakumar kekal konsisten mempertahankan prinsip bahawa penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara berhak mendapat perumahan yang bermaruah dan Taman Rimba Kiara perlu terus dipelihara untuk generasi akan datang.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan dalam perjalanan panjang ini. Isu ini telah melalui penelitian dan semakan pelbagai institusi negara daripada legislatif melalui prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada badan kehakiman yang mendengar dan memutuskan perkara ini sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Akhirnya Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri mengambil keputusan untuk melaksanakan penyelesaian dan menunaikan komitmen kepada penduduk rumah panjang ini,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!