'Pakej RM140 juta Selangor bukan bermotif PRN' - Amirudin

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 bernilai RM140 juta yang diumumkan kerajaan negeri mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, dakwaan kononnya pelaksanaan pakej itu bertujuan meraih sokongan politik disifatkan tidak berasas memandangkan Selangor ketika ini tidak berdepan sebarang PRN.
"Kita bukan macam Johor yang mengumumkan peruntukan RM170 juta ketika hendak menghadapi PRN, sebaliknya di Selangor tidak ada PRN pun," katanya semasa sidang media selepas pelancaran PPDTS Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Isnin.
Amirudin berkata, pakej itu sebenarnya telah diumumkan sejak April lalu selepas beberapa sesi libat urus dijalankan bersama pakar ekonomi, industri, tenaga dan geopolitik bagi menilai kesan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut beliau, fokus utama inisiatif itu adalah untuk membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, selain memperkukuh aspek keselamatan makanan dan daya tahan ekonomi negeri.
"Saya umumkan hari ini adalah pelaksanaan kepada pakej yang sama seperti yang diumumkan pada April lalu.
"Pengumuman dibuat bagi menetapkan kaedah pelaksanaan serta jadual penyaluran semua inisiatif di bawah pakej ini," jelas beliau.
PPDTS Fasa 1 melibatkan tujuh inisiatif utama termasuk Baucar Kita Selangor, subsidi tambang pengangkutan awam, program sarapan percuma kepada pelajar, Jelajah Ehsan Rahmah, bantuan sektor pertanian, Jualan Rumpun Selangor serta penubuhan Gudang Makanan Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

