Mat rempit warga asing ditahan buat bising

Antara penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam operasi di sekitar Tasik Tambahan, Ampang pada Selasa. - Foto Polis Ampang
Antara penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam operasi di sekitar Tasik Tambahan, Ampang pada Selasa. - Foto Polis Ampang
A
A
A

AMPANG - Lagak mat rempit warga asing 'mampamer' ekzos yang diubahsuai dengan bunyi bising memakan diri selepas ditahan polis di sekitar Tasik Tambahan di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu dijalankan bermula jam 9 malam.

Menurutnya, tindakan dijalankan berikutan aduan awam mengenai gangguan bising ekzos motosikal.

"Polis telah menyita 18 motosikal termasuk lapan yang ditunggang warga asing kerana pengubahsuaian ekzos melampau.

"Motosikal yang disita ialah Yamaha Lagenda, Yamaha 125Z, Yamaha 135LC, Honda CBR 250 serta Yamaha MT689 untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Polis menyita 18 motosikal dalam operasi di sekitar Tasik Tambahan, Ampang pada Selasa. - Foto Polis Ampang
Polis menyita 18 motosikal dalam operasi di sekitar Tasik Tambahan, Ampang pada Selasa. - Foto Polis Ampang

Beliau berkata, semakan mendapati lapan warga asing yang ditahan membabitkan warga Myanmar.

Katanya, empat daripada mereka ini adalah terdiri daripada satu kumpulan.

"Kesemua motosikal ini disita kerana kesalahan ekzos selain pengubahsuaian termasuk tiada brek belakang," ujarnya.

Tambah Mohamad Farouk, perbuatan ini mengganggu penduduk yang ingin berehat selain bayi dan warga tua yang sedang tidur.

Dalam pada itu, operasi yang tamat pada jam 1 pagi itu telah mengeluarkan 40 saman atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya seperti tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.