Sindiket tipu pelaburan kad sim masuk 'jerat' polis

Noorsiah
Noorsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan pelaburan perniagaan kad sim yang menjerat mangsa bernilai RM1.45 juta tumpas susulan penahanan dalang di ibu negara pada Rabu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berserta rampasan dua telefon bimbit, satu kad ATM dan dua buku cek yang disyaki diguna untuk kegiatan penipuan ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi sejak tahun 2020 dengan menawarkan pelaburan berbentuk perniagaan kad sim dan produk syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

"Setiap pakej pelaburan menawarkan pulangan bulanan yang berbeza.

"Bagaimanapun, siasatan mendapati pelabur hanya menerima pulangan di peringkat awal sebelum dimaklumkan bahawa syarikat telah mengalami kerugian dan pulangan yang dijanjikan tidak dapat dibayar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat tiga laporan polis diterima berkait penipuan ini membabitkan jumlah RM1.45 juta.

Katanya, suspek telah direman dua hari sehingga Jumaat untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan diberikan jaminan polis setelah reman tamat.

Ujarnya, mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan pelaburan ini diminta segera tampil membuat laporan polis di balai berhampiran.

"Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sekiranya menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal 'semak mule', alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum membuat keputusan menyertai skim pelaburan yang meragukan," katanya.