Penyelesaian isu penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara bukti kerajaan utamakan rakyat - Ramanan

SHAH ALAM - Penyelesaian isu penempatan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara yang tertangguh selama 44 tahun bukti komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu rakyat secara tuntas.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, penyelesaian yang dicapai bukan sahaja mencerminkan kecekapan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya memperlihatkan iltizam kepimpinan dalam memastikan isu rakyat tidak terus dibawa tanpa penyelesaian dari satu generasi ke generasi berikutnya.
"Pendekatan Kerajaan Madani dalam menangani isu itu membuktikan setiap masalah membabitkan kesejahteraan rakyat akan diberi keutamaan tanpa mengira tempoh ia berlarutan.
"Keputusan yang dimuktamadkan oleh Perdana Menteri adalah satu isyarat jelas bahawa kerajaan tidak akan menangguhkan keadilan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menegaskan, projek perumahan kekal yang dilaksanakan memberi manfaat langsung kepada komuniti miskin bandar, termasuk pemberian dua unit rumah baharu secara percuma kepada setiap keluarga yang layak.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik pengumuman sumbangan tambahan sebanyak RM1 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan penyelenggaraan kawasan itu untuk tempoh tiga tahun.
"Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap aspek kelestarian dan kesejahteraan komuniti, bukan sekadar dalam fasa pembinaan tetapi meliputi pengurusan jangka panjang.
"Projek ini mungkin sederhana dari segi skala fizikal, namun impaknya sangat besar kepada kehidupan rakyat yang telah menunggu terlalu lama," ujarnya.
Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menter (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud yang terlibat dalam menjayakan inisiatif tersebut, termasuk agensi kerajaan dan pihak pelaksana di lapangan.
Beliau berkata, kejayaan ini mengukuhkan lagi keyakinan bahawa kerajaan sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan utama dalam setiap keputusan dasar yang diambil.
"Ini adalah bukti bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, setiap janji kepada rakyat bukan sekadar retorik, tetapi diterjemahkan kepada tindakan yang memberi makna sebenar kepada kehidupan mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

