Projek Pan Borneo dilaksana selepas pasukan pengurusan dibentuk

Projek Pan Borneo - Foto Astroawani
A
A

TAWAU - Pelaksanaan semua projek Lebuhraya Pan Borneo yang diserahkan kepada kerajaan negeri akan digerakkan selepas pasukan pengurusan berkaitan lebuh raya itu dibentuk selewat-lewatnya pada September ini.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata pasukan itu bertanggungjawab terhadap semua kerja-kerja berkaitan lebuh raya berkenaan.

"Semua projek lebuh raya itu termasuk Pakej 15 di Tawau akan diselesaikan apabila terbentuknya (Pasukan Pan Borneo) dan kita ambil alih sepenuhnya projek Pan Borneo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat organisasi dan pembangunan daerah Lahad Datu, Kinabatangan serta Tawau daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Peter berkata berkemungkinan terdapat sedikit perubahan dalam pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo terutamanya dari segi spesifikasi jalan.

"Misalnya kita nampak kedudukan jalan di sekitar Beluran, Telupid dan Lahad Datu ini digunakan oleh lori-lori berat sehingga menyebabkan jalan rosak.

"Justeru saya meminta di peringkat JKR untuk meneliti dan kemungkinan mencadangkan konkrit ditebalkan atau tambah aspal untuk kualiti jalan raya lebih baik,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya kerja-kerja pembinaan empangan Tawau di Gudang Empat, Cinta Mata dekat sini digerakkan semula sejak minggu lalu.

"Empangan ini dijangka siap dalam tempoh empat tahun, menggunakan kontraktor sama,” katanya yang akan membuat lawatan tapak pada 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, Peter berkata tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat konsesi berprestasi buruk dalam penyelenggaran jalan raya di negeri ini.

"Ada beberapa kontraktor ini prestasi buruk, kita (kementerian) tunggu laporan penuh daripada jurutera seluruh daerah sebelum kita putuskan tindakan dan saya akan pastikan terdapat pembaharuan, penstrukturan di bawah penyelenggaraan jalan raya di Sabah.

"Kita bukan mahu menganiaya kontraktor yang diambil tindakan, tetapi kita mahu berikan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Tanpa menyatakan bilangan syarikat konsesi bermasalah itu, Peter berkata amaran pernah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat konsesi terlibat supaya menjalankan kerja dengan lebih baik. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia