Ketua balai polis direman tujuh hari disyaki terima rasuah RM500

KOTA BHARU - Seorang ketua balai polis direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman hingga 26 Julai terhadap suspek berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima permohonan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.

Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek pada 2.20 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap jingga SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira 9 pagi dengan diiringi dua pegawai SPRM.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
