Mengantuk selepas tengok bola, ADUN nyanyi lagu tular di DUN Sabah

 Mohd Ismail
Mohd Ismail
A
A
A

KOTA KINABALU - Suasana persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bertukar ceria seketika apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob menyanyikan lagu tular 'Helikopter turun ke padang' bagi menghilangkan rasa mengantuk dalam kalangan wakil rakyat.

Mohd Ismail berkata, rasa mengantuk itu mungkin turut dialami sebahagian ADUN dan pemerhati yang berada dalam dewan selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 awal pagi Isnin.

"Tadi Datuk Speaker ada beritahu bahawa dia mengantuk dan saya tengok rata-rata dalam dewan ini pun mungkin mengantuk. Tak tahulah sama ada penyokong Argentina ataupun penyokong Sepanyol, yang pastinya Sepanyol menang semalam.

"Sebelum saya meneruskan perbahasan saya, saya ingin menyanyi untuk menghilangkan mengantuk ADUN dan pemerhati yang ada dalam dewan," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum membahaskan usul Perbekalan Perbelanjaan Tambahan 2026 ketika persidangan DUN Sabah pada Isnin.

Menggunakan melodi lagu tular berkenaan, Mohd Ismail kemudian mengubah liriknya mengikut suasana persidangan DUN Sabah.

"Helikopter turun ke padang,

Ramai ADUN duduk bersidang,

Masuk dewan sambil berbincang,

Artikel Berkaitan:

Pastikan sokong rang undang-undang," nyanyinya, sekali gus menceriakan suasana dewan.

Sementara itu, dalam perbahasannya, Mohd Ismail turut membangkitkan isu kekurangan doktor di kawasan luar bandar termasuk di Kinabatangan, selain mendakwa terdapat doktor yang menolak penempatan yang ditawarkan.

Beliau berkata, masalah kekurangan doktor bukan hanya berlaku di kawasannya, malah turut dihadapi di beberapa kawasan lain sehingga seorang doktor terpaksa mengendalikan tiga wad.

"Jadi bayangkan berapa ramai pesakit yang doktor perlu rawat dan jaga," katanya.

Mohd Ismail berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mencari solusi terbaik bagi menangani kekurangan doktor, khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau turut membandingkan penempatan doktor dengan guru yang menurutnya tidak boleh menolak penempatan ditetapkan termasuk di kawasan pulau dan pedalaman.

"Kalau mengikut SOP dari Kementerian Pendidikan (KPM) yang mana setiap guru-guru diberi penempatan tidak boleh menolak, walaupun dia diberi di pulau atau di Balung.

"Tetapi berlainan sikit dengan KKM yang mana doktor-doktor ini boleh menolak penempatan tersebut, apa lagi kalau di kawasan saya di Kinabatangan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyediakan insentif bagi menggalakkan doktor menerima penempatan di kawasan luar bandar, selain menambah klinik kesihatan di kawasan yang jauh dari hospital.

Beliau berkata, penduduk di Kampung Balat, misalnya, terpaksa mengambil masa sehingga tiga jam untuk ke hospital melalui jalan raya yang kurang baik.

"Sebab itu dengan adanya penambahan peruntukan ini, saya berharap kawasan saya tidak terjejas dan tidak tertinggal daripada rang undang-undang penambahan bajet ini," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!