Hajiji tarik balik kenyataan terhadap ADUN Kapayan dalam sidang DUN Sabah

Hajiji ketika menghadiri sidang DUN Sabah.
Hajiji ketika menghadiri sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menarik balik kenyataan yang dibuatnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 April lalu selepas dirujuk di bawah Peraturan Mesyuarat 43(4).

Penarikan balik kenyataan itu dibuat sebelum persidangan DUN bermula pada Selasa, susulan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming, yang membangkitkan perkara itu pada persidangan sehari sebelumnya.

Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Al-Hambra Tun Juhar terlebih dahulu memaklumkan bahawa Hajiji diberi peluang untuk memberikan penjelasan ringkas kerana telah dirujuk secara peribadi semasa perbahasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa penjelasan itu bukan suatu perbahasan, justeru tiada sebarang pencelahan atau perbahasan lanjut dibenarkan sebelum urusan Dewan diteruskan.

"Tuan Speaker, saya menarik balik kenyataan yang saya buat pada sesi Dewan Undangan Negeri pada 30 hari bulan April yang lalu. Terima kasih," kata Hajiji.

Selepas kenyataan itu dibuat, Timbalan Speaker mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri sebelum meneruskan urusan persidangan dengan sesi pertanyaan bagi jawapan lisan.

Pada Isnin, Tek Ming bangun di bawah Peraturan Mesyuarat 43(4) dengan merujuk kepada hansard bertarikh 30 April lalu di muka surat 152, yang merekodkan kenyataan Hajiji terhadapnya berbunyi, 'ini lawyer tapi otak gila ini'.

Menurutnya, beliau boleh menerima kritikan terhadap hujah yang dikemukakan, namun tidak boleh menerima penghinaan terhadap maruah seorang Ahli Dewan Rakyat.

"Perbahasan di dewan ini hendaklah dijawab dengan fakta dan hujah, bukan dengan kata-kata yang menghina. Lebih penting lagi, perkataan seperti ini datang daripada seorang Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Jika Ketua Menteri sendiri menggunakan bahasa sedemikian tanpa sebarang tindakan, apakah mesej yang kita hantar kepada rakyat? Bahawa penghinaan lebih diutamakan daripada hujah, dan Peraturan Mesyuarat hanya terpakai kepada sesetengah Ahli sahaja?," katanya.

Beliau turut memohon Speaker supaya menegakkan Peraturan Mesyuarat 43(4) dengan mengarahkan Ketua Menteri menarik balik kenyataan berkenaan tanpa syarat.

"Maruah Dewan ini bergantung kepada kesediaan kita menegakkan peraturannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!