Masalah jalan raya, pengangkutan awam punca rakyat Sabah bergantung pacuan empat roda - Shafie Apdal

Mohd Shafie (kanan) menghadiri sidang DUN Sabah pada Isnin.
Mohd Shafie (kanan) menghadiri sidang DUN Sabah pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kebergantungan penduduk Sabah terhadap kenderaan pacuan empat roda perlu dilihat sebagai sebahagian daripada masalah asas yang lebih besar sebelum isu subsidi diesel terus diperdebatkan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penggunaan kenderaan pacuan empat roda di Sabah tidak boleh dilihat secara berasingan daripada keadaan jalan raya, sistem pengangkutan awam dan kemudahan pengangkutan yang masih tidak mencukupi di banyak kawasan.

"Kita nak bising tentang subsidi diesel ini, kita kena kaji secara mendalam apa punca masalah. Tahun ini, kita belanja kerajaan Malaysia RM40 bilion. Bayangkan RM40 bilion satu jumlah yang besar, tapi apa punca masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Penambahan Perbelanjaan Perbekalan 2026, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.

Menurutnya, berbanding negara seperti Singapura dan Thailand, penggunaan kenderaan pacuan empat roda di Sabah lebih ketara kerana keadaan jalan raya yang tidak baik serta kekurangan sistem pengangkutan awam dan rangkaian kereta api.

"Banding dengan Singapura, banding dengan Thailand, banding dengan negara-negara lain, jarang kita dengar mereka menggunakan pacuan empat roda. Tidak ada pacuan empat roda.

"Kenapa mereka tidak ada pacuan empat roda, sebab jalan raya yang baik, sistem pengangkutannya ada, jalan kereta apinya ada," katanya.

Beliau berkata, masalah jalan raya yang rosak turut dikaitkan dengan penggunaan kenderaan berat dan muatan berlebihan, termasuk aktiviti pengangkutan balak di beberapa kawasan.

"Kalau saya perhatikan, muatan jalan-jalan raya di kawasan Kota Marudu, di kawasan Kalabakan, sudah rosak jalan raya ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebab apa jalan raya rosak, balak yang berlebihan (exceptional timber). Gambarnya ada Datuk Speaker," katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan ke mana hasil daripada kegiatan berkenaan disalurkan serta sejauh mana hasil negeri dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah asas rakyat.

"Hasil dia ke mana duit ini? Di Kalabakan, di kawasan Bandau, Kota Marudu, ini bukannya kita katakan fitnah.

"Di mana hasil yang kita boleh pastikan bahawa ianya dapat dimanfaatkan oleh rakyat di peringkat negeri Sabah?," katanya.

Beliau berkata, penyelesaian terhadap isu subsidi diesel perlu mengambil kira punca yang menyebabkan rakyat bergantung kepada kenderaan persendirian, termasuk kekurangan pengangkutan awam serta keperluan menggunakan kenderaan yang sesuai dengan keadaan jalan raya di kawasan tertentu.

Sementara itu, Mohd Shafie turut mempersoalkan peruntukan hampir RM70 juta bagi perkhidmatan pengangkutan dan logistik, termasuk tambahan RM4.5 juta bagi sewaan penerbangan Yang Dipertua Negeri Sabah (TYT) dan Ketua Menteri.

Beliau berkata, jumlah berkenaan perlu dijelaskan secara terperinci memandangkan perbelanjaan itu secara purata mencecah hampir RM190,000 sehari jika dikira untuk tempoh setahun.

"Kalau kita kira 365 hari yang ada, belanja setiap hari hampir RM190,000 menggunakan duit itu. Kita membelanjakan hampir RM200,000 kalau kita teliti secara mendalam.

"Sewaan ini siapa punya syarikat? Ke mana ini? Kerana ini satu jumlah yang besar, RM70 juta yang ada ini. Berapa kerap digunakan helikopter atau pesawat? Siapa yang memiliki (syarikat) ini?," katanya.

Beliau meminta Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun memberikan penjelasan berhubung perbelanjaan berkenaan yang disifatkan sebagai jumlah besar dan menjadi perhatian rakyat.

Mohd Shafie berkata, perbelanjaan kerajaan perlu dipantau bagi memastikan tiada ketirisan, selain mengutamakan penyelesaian masalah asas yang masih dihadapi rakyat Sabah.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!