Trafik lebuh raya utama seluruh negara lancar petang ini

Aliran trafik lancar setakat jam 4 petang Jumaat di Lebuhraya PLUS arah selatan susulan orang ramai sudah mula pulang ke kampung sejak beberapa hari lepas untuk menyambut Aidilfitri. - Foto Bernama
Aliran trafik lancar setakat jam 4 petang Jumaat di Lebuhraya PLUS arah selatan susulan orang ramai sudah mula pulang ke kampung sejak beberapa hari lepas untuk menyambut Aidilfitri. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara petang ini lancar walaupun terdapat pertambahan kenderaan susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung menjelang sambutan Aidilfitri, esok.

Bagi perjalanan ke arah selatan, menurut Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kesesakan hanya dikesan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di antara Bandar Ainsdale ke Port Dickson.

Bagi arah utara pula, kesesakan hanya dilapor tengah hari tadi, namun kini kembali lancar.

"Begitu juga trafik menghala ke pantai timur tiada kesesakan petang ini, tidak seperti kelaziman terutama selepas Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, PLUS menerusi ciapan di Twitter, memaklumkan lorong kiri yang ditutup akibat kemalangan di KM 230.3 dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering petang tadi telah dibuka.

Insiden di KM 47.5 arah utara dari Sedenak ke Simpang Renggam juga telah selesai dan trafik beransur lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama