'Mohon naikkan kuota diesel kepada 500 liter untuk kawasan luar bandar' - Masiung

Masiung (kanan) ketika menghadiri sidang DUN Sabah pada Isnin.
Masiung (kanan) ketika menghadiri sidang DUN Sabah pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kuota subsidi diesel bagi kawasan luar bandar wajar dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter sebulan bagi mengambil kira jarak perjalanan yang jauh serta keluasan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di pedalaman Sabah

Datuk Masiung Banah (GRS- Kuamut) berkata, had 200 liter sebulan yang ditetapkan ketika ini tidak mencukupi untuk kawasan seperti DUN Kuamut yang memerlukan perjalanan jauh ke pusat bandar dan lokasi lain bagi urusan rasmi serta keperluan penduduk.

"Subsidi diesel yang telah dihadkan kepada 200 liter itu tidak mencukupi untuk kawasan saya. Bayangkan, daripada Kuamut ke Kota Kinabalu mengambil masa enam hingga tujuh jam pergi balik.

"Saya tiada angka berapa kilometer, tetapi yang pastinya untuk pergi balik daripada Kuamut ke Kota Kinabalu, 200 liter itu sudah habis. Itu hanya pergi balik satu perjalanan, sedangkan kita hanya diberikan had 200 liter untuk satu bulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan penggulungan bagi usul Penambahan Perbelanjaan Perbekalan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk pelaksanaan penstrukturan subsidi diesel mengambil kira perbezaan realiti antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya dari segi jarak perjalanan.

Beliau berkata, walaupun memahami cabaran kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan penstrukturan subsidi dengan mengambil kira kepentingan negara dan rakyat, keperluan kawasan luar bandar juga perlu diberi perhatian.

"Saya mohon kepada pihak kerajaan Persekutuan, dan yang pastinya saya difahamkan kerajaan negeri telah pun menubuhkan satu jawatankuasa pemantau untuk subsidi diesel ini dan juga petrol.

"Mohon kepada pihak urusetia yang telah dibentuk di pihak kerajaan negeri mengambil maklum tentang ini. Untuk Kuamut dan saya percaya kawasan-kawasan luar bandar, kita mohon supaya kuota ini dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter untuk kawasan-kawasan luar bandar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan supaya penstrukturan subsidi diesel tidak menambah beban kepada penduduk dan wakil rakyat yang perlu bergerak dalam kawasan luas serta jauh dari pusat bandar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!