Pemberian Khas: Sabah mahu penaksir bebas jika rundingan gagal

KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Kerajaan Sabah berpandangan seorang penaksir bebas perlu dilantik sekiranya rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung amaun muktamad Pemberian Khas tidak mencapai persetujuan.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Sr Mohd Ishak Ayub berkata, pendirian itu selaras dengan peruntukan Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, manakala kerajaan Sabah kekal berpendirian bahawa formula 40 peratus hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, persetujuan terhadap kadar baharu bayaran Pemberian Khas sebanyak RM1.5 bilion merupakan penyelesaian interim dan tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas yang sewajarnya diterima Sabah.
"Kerajaan Sabah menegaskan bahawa persetujuan terhadap kadar baharu bayaran Pemberian Khas sebanyak RM1.5 bilion merupakan suatu penyelesaian interim (interim arrangement) dan tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad Pemberian Khas.
"Persetujuan tersebut juga dibuat tanpa prejudis kepada hak-hak Perlembagaan Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, serta tidak menjejaskan keperluan untuk meneruskan rundingan bagi pelaksanaan formula 40 peratus dalam menentukan amaun muktamad Pemberian Khas yang sewajarnya diterima oleh Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tamparuli), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) dan Alias Sani (Warisan-Sekong) berkaitan soalan yang sama mengenai status terkini pemberian khas RM1.5 bilion yang diterima Sabah.
Mohd Ishak berkata, kerajaan Sabah kekal dengan pendirian bahawa formula 40 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.
"Bagaimanapun, sekiranya persetujuan mengenai amaun muktamad Pemberian Khas menurut Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dicapai melalui rundingan, Kerajaan Sabah berpandangan bahawa pelantikan seorang penaksir bebas, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan, hendaklah dilaksanakan," katanya.
Sementara itu, berhubung bayaran interim pemberian khas sebanyak RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei lalu, beliau berkatak, kerajaan Sabah telah menerima RM600 juta daripada kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lalu.
Kerajaan Sabah telah memohon supaya baki RM900 juta disalurkan kepada negeri itu dalam tahun ini juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
